Mafia korporat: AMLA beku dana RM4.3 bilion, sita RM1 bilion sejak akhir 2022 – Anwar

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Pertanyaan - Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober: Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan dana berjumlah RM4.3 bilion serta menyita RM1 bilion berkaitan kegiatan mafia korporat sejak akhir 2022 hingga September 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam tempoh sama, tindakan penguatkuasaan AMLA turut menyaksikan pelucutan hak bernilai RM48.3 juta selain pengeluaran kompaun berjumlah RM1.1 bilion.

Beliau berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen serta ketegasan kerajaan dalam membanteras salah guna kuasa, penyelewengan dan pelanggaran undang-undang yang melibatkan sektor korporat dan perniagaan.  

“Kerja (penguatkuasaan) ini tentulah memerlukan satu komitmen yang jelas dan ketegasan daripada syarikat. Soalnya apakah semuanya diumumkan, itu saya serah kepada pihak penguatkuasaan, sama ada tindakan itu selesai dengan pendakwaan sebelum dihebahkan, itu bidang kuasa masing-masing,” katanya. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, yang ingin tahu perkembangan terkini mengenai dakwaan kegiatan mafia korporat yang melibatkan pelanggaran hukum serta bentuk tindakan diambil.

Mengulas lanjut, Anwar berkata bagi tindakan menerusi Op Viking, 70 individu disiasat membabitkan pembekuan dan sitaan aset termasuk lapan bidang hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai RM323 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.6 juta.

Berhubung pemulihan aset secara keseluruhan, beliau berkata jumlah aset berjaya dirampas dan dikembalikan menerusi usaha bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan mencecah RM37.53 bilion, dengan RM28 bilion daripadanya digunakan untuk melunaskan hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menjawab soalan tambahan Aminuddin berhubung keperluan pindaan akta berkaitan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata akta berkaitan Syarikat Milik Kerajaan (SOE) sedang dirangka oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk syarikat milik kerajaan dan dijangka dibentang pada tahun hadapan. 

“Tetapi undang-undang yang sedia ada di bawah pengelolaan BNM, Suruhanjaya Sekuriti (SC), PDRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan SPRM setakat ini dianggap memadai. Cuma ada keperluan untuk ada pengarahan atau tekad politik yang jelas. 

“Saya lihat banyak juga kritikan, tetapi tidak langsung menyinggung jenayah korporat puluhan bilion yang berlaku dulu seolah-olah ada yang mahu dilindungi. Pendirian kita, apa sahaja maklumat yang diperoleh, tanpa kecuali, harus didedahkan dan dijalankan siasatan seperti yang diperlukan,” katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan Malaysia telah menerima pengiktirafan tinggi dalam Laporan Penilaian Bersama 2025 oleh badan antarabangsa Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) atas langkah pemulihan kewangan yang tegas.

Menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyentuh soal persepsi ‘sakau’ hanya melibatkan parti politik tertentu, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang terlibat, termasuk daripada partinya sendiri. 

Beliau berkata bagi memastikan penyelarasan penguatkuasaan lebih telus dan berkesan, kerajaan mengarahkan Peguam Negara untuk mengetuai satu pasukan petugas yang menggabungkan pelbagai agensi termasuk PDRM, SPRM, BNM, SC, dan LHDN bagi menyiasat kes-kes berkaitan korporat.

Anwar berkata laporan lengkap berhubung siasatan berkaitan kes berkenaan akan disediakan dalam tempoh tiga bulan dan bakal didedahkan kepada umum.

“Jadi ini akan menunjukkan bahawa tidak ada yang dilindungi. Apa yang disebut, ada bukti, keluarkanlah, tak kira nama siapa disebut…tetapi biar kita dapat pendedahan sepenuhnya dalam pasukan khas yang diketuai oleh Peguam Negara,” katanya. – Bernama

Pendaftaran PN dibatalkan – RoS

PUTRAJAYA, 20 Oktober: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN), selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan parti