SIBU, 18 Oktober: Majlis Islam Sarawak (MIS) terus mempergiat usaha memastikan generasi muda Islam di negeri ini mendapat akses kepada peluang pendidikan yang lebih baik menerusi pendekatan turun padang bagi mendekati masyarakat dan mengenal pasti keperluan mereka.
Setiausaha MIS merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Datu Mual Suaud berkata, pendidikan merupakan antara keutamaan dalam Pelan Strategik MIS bagi memastikan generasi muda Islam tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Menurutnya, pelbagai kemudahan dan peluang pendidikan yang disediakan kerajaan, termasuk pendidikan tinggi, perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu golongan muda membina masa depan yang lebih baik.
“Kerajaan sudah menyediakan banyak peluang pendidikan, termasuk kemudahan pengajian tinggi. Justeru, kita mesti memastikan anak-anak kita belajar setinggi yang mungkin.
“Yang penting ialah ilmu. Dengan ilmu, insya-Allah mereka mempunyai peluang lebih baik untuk membina masa depan,” katanya ketika berucap pada Program Town Hall Pendidikan sempena Ziarah Mahabbah MIS Zon Tengah Siri 2 Tahun 1448 Hijrah/2026 di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini.
Menurutnya, Program Ziarah Mahabbah turut menjadi platform bagi MIS mendekati masyarakat secara langsung, mendengar permasalahan serta mendapatkan pandangan dan cadangan untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan agensi Islam.
“Kalau sebelum ini masyarakat datang ke pejabat kita, kali ini kita pula turun menemui mereka.
“Kita mahu menyantuni masyarakat, bertanya khabar dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi supaya perkara yang mampu dilaksanakan dapat kita usahakan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keharmonian antara kaum dan agama perlu terus dipelihara kerana kerjasama seluruh masyarakat merupakan antara asas penting pembangunan Sarawak.
Katanya, pembangunan negeri bukan tanggungjawab satu kaum sahaja, sebaliknya memerlukan persefahaman dan penglibatan semua lapisan masyarakat.
“Kita di Sarawak mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain. Keharmonian ini mesti dipelihara kerana pembangunan negeri memerlukan kerjasama semua kaum.
“Allah SWT menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kita saling mengenali, bukannya untuk bermusuhan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan masyarakat menghidupkan semula budaya ziarah-menziarahi, bertanya khabar dan bergotong-royong yang menurutnya semakin berkurangan dalam kehidupan moden.
Sementara itu, MIS melalui pelbagai agensi turut memainkan peranan dalam memperkukuh pengurusan zakat, wakaf, pendidikan Islam, penyebaran al-Quran serta pemahaman agama dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, penubuhan Yayasan Wakaf Sarawak merupakan antara usaha untuk memastikan pengurusan wakaf dilaksanakan secara lebih tersusun, sekali gus memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Beliau turut menggalakkan masyarakat memahami wakaf sebagai amalan sedekah jariah yang manfaatnya boleh dinikmati secara berterusan.
Selain itu, kemudahan yang disediakan oleh Pusat Quran Darul Hana perlu dimanfaatkan bagi memperluas pembelajaran dan penghayatan al-Quran ke seluruh pelosok Sarawak.
Katanya, masyarakat bukan sahaja perlu mahir membaca al-Quran, malah perlu memahami dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
Beliau berharap program seumpama itu dapat memperkukuh hubungan antara MIS dengan masyarakat, selain membantu melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bersatu padu demi kemajuan Sarawak.
Oleh Tarani Lanting





