CYBERJAYA, 18 Oktober 2026: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan susulan aduan berhubung kandungan yang dimuat naik melalui platform media sosial Threads dan disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.
Kandungan berkenaan menyentuh isu berkaitan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Sebagai bahagian daripada proses siasatan, MCMC telah merakam percakapan seorang individu di Balai Polis Labu bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti fakta berkaitan. Turut disita bagi membantu siasatan ialah satu (1) unit telefon bimbit beserta eSIM untuk tujuan analisis forensik. Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
MCMC turut meneliti aspek penyebaran kandungan tersebut melalui platform media sosial dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya terdapat unsur kesalahan lain yang memerlukan tindakan di bawah undang-undang berkuat kuasa.
MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berlandaskan undang-undang serta menghormati institusi diraja. Sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan proses perundangan yang sewajarnya.





