52 peserta sertai Cabaran Panjat Dinding BBP Bintangor sempena Hari Sukan Negara

Facebook
WhatsApp
BERGAMBAR KENANGAN...Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin bersama Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling dan para pemenang selepas majlis penyampaian hadiah Cabaran Panjat Dinding HSN BBP Bintangor 2026. Foto BBP Bintangor

BINTANGOR, 18 Oktober: Seramai 52 peserta daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, BBP Sarikei serta ahli keluarga anggota bomba menyertai Cabaran Panjat Dinding Hari Sukan Negara (HSN) BBP Bintangor 2026 yang berlangsung di BBP Bintangor, semalam.

Pertandingan yang bermula pada 8.00 pagi tersebut dianjurkan sempena Sambutan HSN 2026 sebagai usaha menggalakkan gaya hidup aktif, meningkatkan kecergasan fizikal dan mengeratkan hubungan dalam kalangan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga mereka.

Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, penganjuran pertandingan turut menyediakan ruang kepada anggota bomba dan ahli keluarga untuk menguji ketahanan fizikal, membina keyakinan diri serta memupuk semangat kesukanan.

“Program ini bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan kecergasan fizikal dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga JBPM serta keluarga.

“Pertandingan tersebut melibatkan empat kategori iaitu berpasukan, individu terbuka, remaja berusia 12 hingga 16 tahun yang terdiri daripada anak anggota bomba serta individu veteran berumur 40 tahun ke atas,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, penglibatan peserta daripada pelbagai peringkat umur memperlihatkan bahawa aktiviti sukan dan kecergasan boleh dilaksanakan secara bersama, bukan sahaja dalam kalangan anggota bomba yang masih aktif berkhidmat, malah turut melibatkan keluarga mereka.

Dalam kategori berpasukan, Alpha Bintangor muncul juara, diikuti Bravo Bintangor sebagai naib juara dan Charlie Bintangor di tempat ketiga, manakala BBP Sarikei menduduki tempat keempat.

Bagi kategori individu terbuka, Graind Jubin meraih gelaran juara selepas mengatasi Akhmal Riezzal di tempat kedua, Awang Azman di tempat ketiga dan Affendi di tempat keempat.

Sementara itu, Mohamad Aidil Zaqwan mengungguli kategori remaja berusia 12 hingga 16 tahun, diikuti Ahmad Mirza Safyan sebagai naib juara, Muhd Faiq Syazwan di tempat ketiga dan Zhaffril Adha di tempat keempat.

Kategori individu veteran berusia 40 tahun ke atas pula menyaksikan Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin muncul juara, manakala Zamri Rosli menduduki tempat kedua, Muhammad Sufian di tempat ketiga dan Herman Basa di tempat keempat.

Mahmudin turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan Ahli Jawatankuasa Biro Sukan Balai yang memberikan kerjasama dalam menjayakan pertandingan tersebut.

Turut hadir ialah Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling.

Oleh Earl Anek