Kenaikan gaji minimum bantu pekerja tangani kos sara hidup, buka ruang pendapatan lebih baik

Facebook
WhatsApp
DEKAN Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri. Foto UPM

PUTRAJAYA, 18 Oktober: Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 dijangka membantu lebih empat juta pekerja menangani peningkatan kos sara hidup, selain membuka ruang kepada pendapatan yang lebih baik.

Bagaimanapun, keberkesanan langkah itu perlu dinilai berdasarkan perubahan sebenar dalam kehidupan pekerja, termasuk kemampuan mereka memenuhi keperluan asas, mengurangkan kebergantungan kepada hutang dan mengurus komitmen kewangan.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, kenaikan gaji perlu disertai pemantauan bagi memastikan manfaatnya benar-benar dirasai pekerja, bukannya diimbangi melalui pengurangan elaun atau perubahan syarat pekerjaan.

PENGERUSI Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Tan Sri Zainal Rahim Seman. Foto Bernama

Beliau berkata, majikan juga perlu menyediakan laluan peningkatan gaji yang lebih jelas, manakala institusi pendidikan perlu memperkukuh kemahiran praktikal dan pengurusan kewangan dalam kalangan graduan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, sektor swasta memerlukan garis panduan gaji yang lebih jelas bagi mengurangkan jurang pendapatan antara lokasi dan sektor pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang menyediakan garis panduan gaji pokok permulaan berasaskan Klasifikasi Standard Pekerjaan Malaysia (Masco) untuk pelaksanaan mulai Jun 2027.

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan. Foto Bernama

Inisiatif itu turut merangkumi pembangunan modul e-Gaji bagi membantu menangani isu mampatan gaji, meningkatkan nilai pekerjaan dan menyokong peralihan negara kepada ekonomi bernilai tinggi.

Kerajaan turut mengumumkan pengecualian pelaksanaan gaji minimum baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta, selain cadangan gaji pokok permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.

Kenaikan gaji minimum itu diharap dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja, namun pelaksanaannya perlu disokong pemantauan dan dasar berkaitan bagi memastikan peningkatan pendapatan selari dengan kos sara hidup. – Bernama