Larian 10KM Bintulu tarik kira-kira 1,000 peserta

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang melepaskan peserta Larian 10 Kilometer sempena Hari Sukan Negara Bintulu 2026 di Dewan Suarah Bintulu.

BINTULU, 18 Oktober: Sekitar 1,000 peserta mengambil bahagian dalam Larian 10 Kilometer sempena Hari Sukan Negara Bintulu 2026 di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penganjuran acara larian di Bintulu terus mendapat sambutan masyarakat, sekali gus memperlihatkan minat terhadap aktiviti sukan dan rekreasi.

“Pagi ini, larian sejauh 10 kilometer dianjurkan sempena dengan Hari Sukan Negara yang mana hampir 1,000 peserta menyertai larian ini,” katanya.

PESERTA mengambil bahagian dalam Larian 10 Kilometer sempena Hari Sukan Negara Bintulu 2026 di Dewan Suarah Bintulu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelepasan larian berkenaan di Dewan Suarah Bintulu.

Menurutnya, acara larian bukan sahaja menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti fizikal, malah memberi peluang kepada peserta untuk beriadah dan menikmati aktiviti bersama-sama.

Johnny Pang turut memaklumkan bahawa satu lagi acara larian diadakan di Boulevard, menunjukkan aktiviti seumpama itu turut mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan.

Justeru, beliau berharap penganjuran acara sukan seperti itu dapat menggalakkan lebih ramai penduduk mengamalkan gaya hidup aktif serta menjadikan aktiviti fizikal sebahagian daripada rutin harian.

Oleh Carolyne Utih