Persediaan atlet akuatik Sarawak ke Sukma 2028 bermula sekarang

Facebook
WhatsApp
TAN Kun Gee menyampaikan ucapan pada Malam Sambutan Ulang Tahun, Penghargaan dan Anugerah Akuatik Sarawak di The Sarawak Club, Kuching, malam ini.

KUCHING, 17 Oktober: Persediaan atlet sukan akuatik Sarawak bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2028 perlu dimulakan dari sekarang dengan penekanan terhadap pembangunan bakat akar umbi, peningkatan mutu kejurulatihan serta penyediaan kemudahan latihan.

Presiden Persatuan Akuatik Sarawak (ASWK), yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Renang Amatur Sarawak (Asas), Tan Kun Gee, berkata usaha itu penting bagi memastikan kontinjen Sarawak mampu mencatat keputusan lebih baik pada temasya akan datang.

Beliau berkata, setiap disiplin sukan akuatik perlu memperkukuh pembangunan masing-masing berdasarkan cabaran dan kelemahan yang dikenal pasti sepanjang Sukma 2026.

Bagi acara renang, katanya, program pembangunan akar umbi seperti Program Belajar Berenang perlu diperkasakan, selain memperluas akses kepada kemudahan kolam renang dan mencari kaedah untuk mengekalkan atlet berbakat di Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun, Penghargaan dan Anugerah Akuatik Sarawak di Kelab Sarawak, di sini, hari ini.

Katanya, antara cabaran yang perlu ditangani ialah kecenderungan atlet meninggalkan Sarawak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Situasi itu memerlukan pendekatan lebih berkesan bagi memastikan mereka terus dapat menyumbang kepada pembangunan sukan negeri.

TAN Kun Gee bersama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu dan barisan persatuan ketika memotong kek sempena Malam Sambutan Ulang Tahun, Penghargaan dan Anugerah Akuatik Sarawak di The Sarawak Club, Kuching, malam ini.

Bagi acara terjun, usaha mengenal pasti bakat muda perlu diteruskan, di samping meningkatkan mutu kejurulatihan dan persediaan teknikal bagi melahirkan atlet yang mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, acara polo air memerlukan peluasan kumpulan pemain, pengenalpastian bakat baharu daripada program renang serta pembangunan jurulatih berkelayakan.

Pendedahan menerusi latihan berpusat dan latihan di luar negara turut dikenal pasti sebagai antara pendekatan yang dapat membantu meningkatkan tahap persediaan atlet polo air Sarawak.

Menurutnya, pencapaian pada Sukma 2026 perlu dijadikan asas untuk mengenal pasti kelemahan dan memperkukuh persediaan bagi menghadapi temasya seterusnya.

Pada Sukma 2026, atlet terjun Sarawak memenangi lapan pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa, manakala pasukan polo air lelaki dan wanita masing-masing meraih pingat emas.

Bagi acara renang, kontinjen Sarawak membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

TAN Kun Gee, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Mu’azamir Jili menyampaikan cek simbolik kepada atlet terjun negara, Elvis Priestly Clement.

Beliau berkata, usaha meningkatkan pencapaian pada 2028 memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri, agensi sukan, kelab, sekolah, jurulatih dan ibu bapa.

Katanya, pembangunan atlet perlu dilaksanakan secara mampan menerusi pelaburan dalam pembangunan bakat, kejurulatihan, kemudahan serta perancangan jangka panjang.

“Jika kita mahukan keputusan yang lebih baik pada 2028, persediaan perlu bermula hari ini. Kita tidak boleh menunggu sehingga Sukma seterusnya untuk memulakan persediaan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa matlamat ASWK bukan sekadar meraih pingat dalam sesuatu kejohanan, tetapi turut merangkumi usaha membina ekosistem sukan akuatik yang kukuh dan mampan demi melahirkan atlet berprestasi tinggi pada masa depan.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili.

Oleh Shahrul Qaizat