Akuatik Sarawak agih insentif RM60,900 kepada atlet dan jurulatih Sukma 2026

Facebook
WhatsApp
DATUK Gerald Rentap Jabu, Mu'azamir Jili dan Tan Kun Gee bergambar bersama penerima insentif.

KUCHING, 17 Oktober: Akuatik Sarawak (ASWK), nama baharu bagi Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS), mengagihkan insentif berjumlah RM60,900 kepada atlet dan jurulatih yang meraih pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka.

Pengumuman itu dibuat oleh presidennya, Tan Kun Gee pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun, Penghargaan dan Anugerah Akuatik Sarawak di The Sarawak Club, di sini, malam ini.

Beliau berkata, pemberian insentif itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha, disiplin, pengorbanan dan komitmen atlet serta jurulatih yang berjaya mengharumkan nama Sarawak pada temasya berkenaan.

INSENTIF… Akuatik Sarawak (ASWK) memperuntukkan RM60,900 sebagai penghargaan kepada atlet dan jurulatih yang mengharumkan nama Sarawak menerusi pencapaian cemerlang pada Sukma 2026.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan bahawa pertukaran nama persatuan daripada Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) kepada Akuatik Sarawak (ASWK) telah mendapat kelulusan rasmi.

Menurutnya, perubahan itu menandakan lembaran baharu bagi persatuan berkenaan dalam usaha memperkukuh identiti organisasi serta meningkatkan pembangunan sukan akuatik di Sarawak.

Beliau berkata, tanggungjawab persatuan bukan hanya tertumpu kepada pencapaian pingat, tetapi turut merangkumi pembangunan bakat muda, peningkatan standard kejurulatihan dan penyediaan lebih banyak peluang kepada atlet untuk bersaing pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Pada Sukma 2026, atlet terjun Sarawak mencatat pencapaian membanggakan dengan meraih lapan pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Pasukan polo air lelaki dan wanita turut mencapai sasaran masing-masing apabila kedua-duanya memenangi pingat emas, manakala atlet renang menyumbang satu emas, dua perak dan empat gangsa.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil kerjasama atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pegawai teknikal, ibu bapa dan semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang persiapan serta pertandingan.

Beliau turut mengingatkan atlet yang belum berjaya meraih pingat supaya tidak berputus asa, sebaliknya menjadikan pengalaman pertandingan sebagai dorongan untuk terus memperbaiki prestasi.

KECEMERLANGAN… Kejayaan atlet sukan akuatik Sarawak pada Sukma 2026 diraikan menerusi Majlis Makan Malam Ulang Tahun, Penghargaan dan Anugerah Akuatik Sarawak di The Sarawak Club, Kuching.

Insentif berkenaan diharap dapat meningkatkan motivasi penerima untuk terus berusaha mencapai kejayaan lebih besar, khususnya menjelang Sukma 2028.

Akuatik Sarawak, katanya, akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh pembangunan sukan akuatik negeri serta membina laluan pembangunan atlet yang mampan dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat elit.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili.

Oleh Shahrul Qaizat