LIVERPOOL, United Kingdom: Dua gol Pedro Neto membantu Chelsea menewaskan Everton 2-0 di Stadium Hill Dickinson, sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama musim ini kepada pasukan tuan rumah dalam perlawanan yang dibayangi kecederaan kepala penjaga gol, Emi Martinez.
Neto membuka jaringan pada minit pertama separuh masa kedua sebelum memastikan tiga mata menjadi milik Chelsea menerusi gol keduanya dalam tempoh 11 minit masa tambahan, susulan rawatan panjang yang diberikan kepada Martinez.
Penjaga gol antarabangsa Argentina itu mengalami pertembungan kepala yang serius dengan pertahanan Everton, Jarrad Branthwaite, sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kemenangan tersebut menyaksikan Chelsea memintas Everton untuk melonjak ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas permulaan yang agak perlahan, perlawanan mula berlangsung sengit apabila pemain tengah Everton, Harrison Armstrong, melakukan terjahan terhadap Josh Acheampong, sekali gus menerima kad kuning pertama daripada lima yang dilayangkan pada separuh masa pertama.
Insiden itu turut membangkitkan semangat penyokong tuan rumah dan mendorong Everton mempamerkan tempoh permainan terbaik mereka.
Bagaimanapun, Thierno Barry sekali lagi gagal memanfaatkan peluang apabila tandukan penyerang Perancis itu hasil hantaran lintang Jack Grealish terlalu hampir dengan Martinez, sekali gus memudahkan penjaga gol berkenaan melakukan penyelamatan.
Chelsea yang sering memulakan perlawanan dengan pantas di bawah kendalian Xabi Alonso hanya mula mengancam empat minit sebelum tamat separuh masa pertama apabila rembatan kencang Moises Caicedo hasil gerakan sepakan penjuru yang tersusun terkena palang.

Everton kemudian meluahkan rasa tidak puas hati apabila Morgan Rogers terlepas daripada menerima kad kuning kedua sejurus sebelum rehat selepas bertembung dengan rakan sepasukan England, James Garner.
Keputusan pengadil itu ternyata memberi kesan besar apabila Chelsea memulakan separuh masa kedua dengan lebih agresif.
Jorrel Hato berjaya membawa bola hingga ke garisan belakang sebelum melakukan hantaran rendah yang menemui Neto. Pemain itu sempat mengawal bola sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan Jordan Pickford.
Chelsea yang gagal mencatat rekod tanpa bolos dalam 22 perlawanan EPL sejak Januari lalu, bagaimanapun tidak banyak menerima ancaman daripada Everton yang kekurangan pilihan di bahagian serangan, meskipun kehilangan Martinez akibat kecederaan.
Rawatan panjang terhadap penjaga gol itu pada awalnya dilihat berpotensi menjejaskan momentum Chelsea, namun pasukan pelawat terus menguasai permainan sepanjang separuh masa kedua.
Penjaga gol Belgium, Mike Penders, yang menggantikan Martinez untuk membuat penampilan sulung dalam EPL, tidak banyak diuji selain perlu menangani beberapa hantaran lintang Everton.
Di hujung padang bertentangan, Pickford melakukan penyelamatan cemerlang untuk menafikan percubaan Joao Pedro.
Bagaimanapun, Chelsea akhirnya memperoleh gol kedua apabila Neto tenang menyudahkan peluang dengan rembatan ke penjuru bawah gawang selepas sepakan percuma Jordan Henderson terkena benteng pertahanan Everton.— AFP




