KUALA LUMPUR, 17 Oktober: Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali beraksi di pentas final Terbuka Denmark selepas menewaskan gandingan China Bao Li Jing-Cao Zi Han pada aksi separuh akhir hari ini.
Pada perlawanan di SJF Bank Arena, Odense, pasangan pilihan kedua kejohanan itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk mencatat kemenangan 21-16, 21-14 dalam tempoh 37 minit.
Kejayaan itu menyaksikan Pearly-Thinaah mengulangi pencapaian terbaik beregu wanita negara pada kejohanan berkenaan sejak Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul juara edisi 2008.
Menanti pasangan negara di final esok ialah pemenang satu lagi aksi separuh akhir membabitkan dua gandingan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita dan Sumire Nakade-Miyu Takahashi.

Sementara itu, hasrat beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas tewas 13-21, 13-21 kepada pasangan China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Terdahulu, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil pertama Malaysia mengesahkan tempat di final selepas menewaskan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 21-14, 21-18 dalam tempoh 38 minit.- Bernama




