KUCHING, 17 Oktober: Golongan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban digesa supaya menguasai teknologi moden, khususnya kecerdasan buatan (AI), selain memanfaatkan pelbagai bantuan dan peluang yang disediakan kerajaan Sarawak bagi membina masa depan lebih baik.
Seruan itu disampaikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ketika berucap pada majlis makan malam bersama peserta Program Lawatan Belia Bukit Saban ke Kuching Siri Kedua, semalam.
Beliau menegaskan bahawa penguasaan teknologi digital semakin penting dalam menghadapi perubahan dunia, terutama dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan kegiatan ekonomi.
“Belia kita perlu mahir menggunakan teknologi moden seperti AI untuk memajukan diri dan keluarga. Kita tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan teknologi yang semakin penting dalam pendidikan, pekerjaan dan kegiatan ekonomi,” katanya.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut mengingatkan golongan belia supaya mengambil tahu pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan yang tersedia untuk rakyat, daripada peringkat awal kehidupan sehingga memasuki alam pekerjaan.
Menurutnya, pengetahuan mengenai bantuan dan peluang berkenaan penting supaya golongan muda dapat memanfaatkannya secara optimum untuk meningkatkan taraf hidup serta membantu keluarga masing-masing.
“Banyak bantuan dan peluang telah disediakan oleh kerajaan untuk rakyat kita, bermula daripada peringkat bayi sehinggalah mereka memasuki alam pekerjaan.
“Belia perlu mengetahui apa yang tersedia dan memanfaatkan peluang tersebut sebaik-baiknya,” katanya.
Uggah berkata, peluang dalam bidang pendidikan, pembangunan kemahiran dan ekonomi perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan keupayaan diri serta mempersiapkan golongan belia menghadapi cabaran masa depan.
Sehubungan itu, beliau berharap program lawatan berkenaan dapat membuka minda peserta, memperluas pengetahuan mengenai perkembangan teknologi digital serta memberikan pendedahan kepada peluang yang boleh diterokai untuk memajukan diri.
“Saya berharap melalui lawatan ini, para belia memperoleh ilmu dan pengalaman yang bermanfaat.
“Gunakan peluang ini untuk menambah pengetahuan, melihat perkembangan semasa dan mendapatkan idea yang boleh membantu memajukan diri masing-masing,” katanya.
Program selama tiga hari bermula semalam hingga esok itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban dengan penyertaan seramai 38 belia dari kawasan berkenaan.
Pada hari kedua, peserta dijadual mengikuti dua sesi taklimat berkaitan pemasaran digital dan AI yang disampaikan oleh Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) di Yahos School of Skills, Metrocity.
Program berkenaan turut merangkumi aktiviti sukan dan rekreasi pada hari terakhir sebelum rombongan bertolak pulang ke Bukit Saban.
Turut hadir Datin Amar Dato Doreen Mayang; Setiausaha Politik Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai; serta Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.
Oleh Adi Safarman





