Regata Tandang Sari jadi platform pelihara warisan, perkasa ekonomi Pusa

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas melakukan simbolik perasmian Regata Tandang Sari 2026 Edisi Ketiga. Foto Douglas Uggah Embas Official

PUSA, 17 Oktober: Regata Tandang Sari 2026 bukan sekadar medan perlumbaan perahu tradisional, sebaliknya menjadi platform penting untuk memelihara warisan budaya, mengeratkan perpaduan masyarakat dan merancakkan ekonomi tempatan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata demikian dalam teks ucapan beliau yang disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ketika merasmikan Regata Tandang Sari 2026 Edisi Ketiga di Dataran Tandang Sari, hari ini.

Menurut beliau, regata berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan, keberanian dan kerjasama yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat setempat serta perlu dipelihara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Penganjuran acara tradisional ini turut membuka ruang untuk memperkenalkan Pusa kepada pengunjung dari daerah lain dan luar Sarawak, sekali gus menjadikannya berpotensi sebagai salah satu tarikan pelancongan di kawasan berkenaan.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas melakukan pelepasan acara lumba perahu. Foto Douglas Uggah Embas Official

“Bagi memaksimumkan manfaatnya, penganjuran regata disaran digabungkan dengan promosi makanan tradisional, hasil tempatan, kraftangan dan pelbagai aktiviti kebudayaan.

“Pendekatan ini bukan sahaja dapat memperkayakan pengalaman pengunjung, malah membuka peluang kepada peniaga kecil dan pengusaha tempatan untuk menjana pendapatan sepanjang acara berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, pembangunan infrastruktur terus menjadi antara keutamaan kerajaan Sarawak bagi memperkukuh hubungan antara kawasan serta memudahkan pergerakan penduduk dan kegiatan ekonomi.

Jambatan Batang Saribas 2 di Pusa, yang sepanjang kira-kira 2.43 kilometer, dijangka dibuka kepada lalu lintas pada 5 Disember depan.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas menyampaikan hadiah kepada pemenang. Foto Douglas Uggah Embas Official

Pembukaan jambatan itu dijangka memudahkan perhubungan penduduk, selain melancarkan pemasaran hasil pertanian dan perikanan yang menjadi antara sumber ekonomi masyarakat setempat.

Bagi peruntukan pembangunan, Belanjawan Sarawak 2027 menyediakan kira-kira RM10.098 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM6.4 bilion khusus bagi pembangunan luar bandar.

Sementara itu, sebanyak 46 projek bernilai keseluruhan RM205 juta sedang giat dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Projek berkenaan merangkumi pelbagai bidang, termasuk infrastruktur, hal ehwal sosial dan wanita, agro-makanan, keusahawanan, utiliti serta pelancongan bagi menyokong pembangunan kawasan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Premier turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan, pemimpin masyarakat, sektor swasta dan penduduk bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan memenuhi keperluan sebenar rakyat.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa mewakili Premier Sarawak merasmikan Regata Tandang Sari 2026 Edisi Ketiga di Dataran Tandang Sari. Foto Douglas Uggah Embas Official

“Saya berharap Regata Tandang Sari terus diperkukuh sebagai acara sukan tradisional yang bukan sahaja memelihara warisan budaya, tetapi turut memperluas potensi pelancongan dan menjana peluang ekonomi untuk masyarakat Pusa,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.

Oleh Adi Safarman