Hamzah mahu program CSR Unimas diperluas ke kampung lain di kawasan Stakan

Facebook
WhatsApp
DATUK Hamzah Ibrahim menyampaikan Bakul Sejahtera kepada penerima di Kampung Jawa Semenggok Lama, melibatkan seramai 100 penduduk kampung yang menerima bantuan menerusi Program STEP CSR 2026.

KUCHING, 17 Oktober: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) diharap diperluas ke lebih banyak kampung di kawasan Stakan bagi membolehkan lebih ramai penduduk menikmati manfaat kerjasama antara universiti dengan komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, Program STEP CSR 2026 di Kampung Jawa Semenggok Lama merupakan inisiatif yang wajar diteruskan kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah membuka peluang kepada mahasiswa menimba pengalaman di luar kampus.

Katanya, penglibatan kira-kira 80 mahasiswa Unimas dalam program itu membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan penduduk kampung, selain berkongsi ilmu dan kemahiran menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

“Saya berharap program ini bukan yang pertama dan terakhir, sebaliknya menjadi permulaan kepada pelaksanaan program seumpamanya di setiap kampung dalam kawasan Stakan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Dewan Kampung Jawa Semenggok Lama, hari ini.

Menurutnya, kerjasama antara Unimas dengan masyarakat setempat pada masa hadapan perlu diperluas, bukan sahaja melalui pemberian sumbangan dan bantuan, tetapi juga menerusi program pendidikan yang dapat meningkatkan pengetahuan penduduk.

PETUGAS Pusat Kesihatan Unimas menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk Kampung Jawa Semenggok Lama menerusi Program STEP CSR 2026 bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

Beliau mencadangkan agar kerjasama itu turut merangkumi penganjuran kelas tuisyen percuma untuk pelajar serta program perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada ibu bapa dan komuniti setempat.

Katanya, inisiatif sedemikian mampu memberikan impak jangka panjang kepada masyarakat sekiranya dilaksanakan secara berterusan dan disesuaikan dengan keperluan setiap kampung.

Antara aktiviti yang disediakan sepanjang program itu ialah pemeriksaan kesihatan bagi mengesan masalah seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan gout, selain aktiviti berkaitan simpanan serta penyaluran sumbangan.

Hamzah turut mengingatkan mahasiswa bahawa kejayaan dalam kehidupan bukan hanya bergantung pada ijazah yang dimiliki, sebaliknya turut memerlukan keupayaan mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian.

Sementara itu, Profesor Dr. Al-Khalid Othman berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti khidmat masyarakat, malah bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti.

DATUK Hamzah Brahim bergambar kenangan bersama 80 pelajar UNIMAS, penduduk Kampung Jawa Semenggok Lama serta wakil agensi yang terlibat dalam menjayakan Program STEP CSR 2026.

Beliau berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada pihak pengurusan, staf dan mahasiswa Unimas untuk berkongsi kepakaran, kemahiran teknikal serta pengalaman dengan masyarakat menerusi kerjasama erat antara universiti dengan komuniti setempat.

Katanya, pelbagai aktiviti gotong-royong serta kerja persiapan di kawasan kampung dan dewan turut dilaksanakan dengan kerjasama warga Unimas dan penduduk setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan komitmen dalam menjayakan program itu, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pusat Kesihatan Unimas (PKU), Unimas Business School, Lembaga Perindustrian Nanas, Bank Simpanan Nasional dan Yayasan Siswa.

Program STEP CSR 2026 mencerminkan usaha kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti setempat dalam memperluas manfaat ilmu, khidmat masyarakat dan pembangunan komuniti.

Oleh Afiq Sallehi