JAKARTA, 17 Oktober: Sebelas anak kapal masih hilang manakala 13 lagi berjaya diselamatkan selepas kapal kargo terbakar di perairan Bengkulu, pantai barat Pulau Sumatera, Indonesia, malam Jumaat.
Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) memaklumkan kebakaran berlaku di bilik enjin kapal KM Prima Sentosa kira-kira 7 malam waktu tempatan ketika kapal itu dalam pelayaran dari Muara Jawa, Kalimantan Timur ke Nagan Raya, Aceh dengan membawa 24 orang.
“Seramai 13 anak kapal berjaya menyelamatkan diri menggunakan rakit keselamatan sebelum diselamatkan kapal Seroja 20 yang melalui kawasan itu, manakala nasib 11 lagi masih belum diketahui,” menurut Basarnas dalam kenyataan.
Agensi itu memaklumkan pihaknya menerima laporan kecemasan daripada ejen kapal pada 8 malam sebelum menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan kira-kira 30 batu nautika dari Pelabuhan Pulau Baai dengan bantuan Tentera Laut Indonesia, polis maritim, pengendali pelabuhan Pelindo dan nelayan tempatan.
Sementara itu, di Nusa Tenggara Timur, pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari seorang pemandu selam warga Indonesia berusia 23 tahun yang hilang selepas bot pelancong KM Feronia terbalik dan karam berhampiran Pulau Tatawa di Labuan Bajo pada Selasa.
Bot itu membawa 30 orang ketika berdepan arus deras, dengan 29 daripadanya berjaya diselamatkan, manakala seorang wanita, Veronica Beatrix Jessica, masih belum ditemukan.
Menurut Basarnas, seramai 132 anggota terbabit dalam operasi SAR hari keempat pada Jumaat, meliputi kawasan pencarian seluas 45.29 batu nautika, selain pencarian bawah air menggunakan penyelam dan peralatan khas.
Agensi itu memaklumkan sebuah kenderaan kawalan jauh bawah air dikerahkan hingga kedalaman kira-kira 99 meter, manakala Tentera Laut Indonesia menggunakan sonar imbasan sisi untuk meninjau beberapa lokasi.
Bagaimanapun, operasi itu masih belum menemukan sebarang petunjuk mengenai mangsa yang hilang.
“Ketika operasi mencari pada 11.21 pagi waktu tempatan, pasukan SAR gabungan menemukan jaket keselamatan milik KM Feronia yang akan digunakan sebagai bahan penilaian bagi menentukan langkah pencarian seterusnya,” menurut agensi itu.- Bernama





