DUN: Kontraktor siap kerja tetapi bayaran lewat, agensi diminta ambil perhatian – Mohd Chee

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong) membahas Belanjawan Sarawak 2027 pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 16 Oktober: Kelewatan pembayaran kepada kontraktor tempatan yang telah menyiapkan projek, khususnya di Kabong, perlu diberi perhatian serius oleh agensi pelaksana.

Isu tersebut dibangkitkan Dato Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong), katanya, semua agensi pelaksana diminta mengambil serius perkara tersebut bagi memastikan kontraktor menerima bayaran dalam tempoh yang munasabah.

“Kelewatan pembayaran bukan sahaja menjejaskan aliran tunai kontraktor, malah menyukarkan mereka membayar gaji pekerja, pembekal bahan binaan serta memenuhi komitmen kewangan lain.

“Kontraktor telah menjalankan tanggungjawab mereka, maka kerajaan juga perlu menunaikan tanggungjawab untuk membuat pembayaran dalam tempoh yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, keadaan itu lebih membebankan kontraktor kecil dan sederhana yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek pembangunan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau berharap semua agensi pelaksana memberi perhatian terhadap urusan pembayaran kepada kontraktor yang telah menyempurnakan kerja mengikut syarat kontrak ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan status pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Kabong yang masih berada pada peringkat perancangan.

“Sebanyak 110 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM206.11 juta dikenal pasti di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

“Daripada jumlah tersebut, 40 projek telah siap, 10 mengikut jadual, dua mendahului jadual, satu mengalami kelewatan kritikal manakala 57 lagi masih dalam perancangan,” jelasnya.

Beliau berharap projek yang masih dalam perancangan dapat dipercepatkan supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati penduduk tanpa kelewatan yang tidak sepatutnya.

Oleh Masrin Affirah