PETRA JAYA, 16 Oktober: Kerajaan diminta memberikan penjelasan mengenai kelewatan pelaksanaan dua projek bekalan air utama di kawasan Tamin yang diluluskan lebih lapan tahun lalu, namun masih belum memulakan kerja fizikal.

Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) berkata, kedua-dua projek berkenaan ialah Projek Bekalan Air Stapang–Sekuau yang dianggarkan bernilai RM117 juta serta Projek Bekalan Air Selangau–Arip–Baoh–Ulu Selangau bernilai RM198 juta.
Beliau meminta status terkini projek berkenaan, termasuk sebab kelewatan, agensi pelaksana yang bertanggungjawab serta jangkaan tarikh tender, permulaan kerja dan penyiapan.
“Pengaturan pembiayaan dan pelaksanaan perlu diselesaikan supaya projek-projek ini dapat bergerak ke hadapan pada 2027,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, bekalan air terawat yang boleh dipercayai kekal sebagai antara keperluan paling mendesak penduduk Tamin, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar yang masih berdepan kekangan kemudahan asas.
Beliau turut menyambut baik pengaturan yang membolehkan projek bekalan air yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bernilai RM50 juta dan ke bawah dilaksanakan menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya kuasa pelaksanaan itu diperluas kepada projek bernilai lebih tinggi, berdasarkan pengalaman serta pengetahuan tempatan JBALB.
Selain bekalan air, Christopher menggesa perhatian berterusan diberikan kepada pembangunan rangkaian jalan raya di Tamin, termasuk enam projek yang melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM636 juta.
Projek berkenaan ialah jalan baharu dari Rumah Enjah ke Rumah Meroda, Ulu Bunau, bernilai RM23 juta; jalan baharu dari Nanga Sekuau ke SK Pakoh/Ratau Lumbang, Ulu Oya, bernilai RM204 juta; serta jalan akses dari Lebuh Raya Pan Borneo ke bandar Selangau bernilai RM7 juta.
Turut disenaraikan ialah jalan baharu dari Nanga Pakoh ke Ulu Bunau Berkikik bernilai RM164 juta, kerja menaik taraf dan membina jalan dari Rumah Sebeli ke Rumah Emong, Nanga Woh, Ulu Mukah, bernilai RM175 juta, serta jalan baharu dari Sungai Engkasan ke Lemayong, Selangau, bernilai RM63 juta.
Beliau meminta JKR Sarawak, Agensi Pembangunan Wilayah Rajang Tengah (MiRRDA) dan agensi pelaksana berkaitan menyediakan laporan kemajuan terperinci bagi setiap projek berkenaan.
Beliau turut memohon supaya kira-kira 60 kilometer jalan pembalakan terbiar di Ulu Mukah dinaik taraf mengikut piawaian JKR, selain peruntukan mencukupi bagi penyelenggaraan jalan dan jambatan berdaftar di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) di Tamin.
Dalam aspek kemudahan asas lain, Christopher berkata, peruntukan RM54 juta bagi bekalan elektrik luar bandar di Tamin telah memberi manfaat kepada 1,513 isi rumah di 81 rumah panjang.
Bagaimanapun, masih terdapat sambungan rumah panjang baharu dan unit keluarga tambahan yang menunggu bekalan elektrik. Beliau meminta peruntukan mencukupi, pemprosesan lebih pantas serta jadual penyambungan yang jelas bagi permohonan tertunggak.
Beliau turut membangkitkan keperluan meningkatkan liputan internet dan telefon mudah alih di kawasan yang masih menghadapi masalah capaian, termasuk Rumah Uban di Ulu Mukah, SK Nanga Arau, Rumah Emong di Ulu Mukah dan kawasan Sebintek.
Dalam bidang pendidikan, beliau meminta pemantauan rapi terhadap pembinaan SMK Selangau, penambahbaikan sekolah daif di Tamin serta perkembangan usaha memindahkan SK Nanga Selangau dan SK Nanga Kua yang terdedah kepada banjir.
Christopher berkata, kejayaan Belanjawan 2027 perlu dinilai berdasarkan hasil pelaksanaan yang dapat dirasai rakyat, termasuk peningkatan kemudahan asas, akses pendidikan dan peluang ekonomi di kawasan luar bandar.
Oleh Shahrul Qaizat




