KUALA LUMPUR, 16 Oktober: Bintang filem terkenal India, Rajinikanth membuat penampilan ke-172 di layar perak menerusi karya terbaharunya Jailer 2, yang mula ditayangkan di negara ini semalam.
Merupakan kesinambungan karya pecah panggung pada 2023, Jailer, filem arahan Nelson Dilipkumar dan dilatari muzik ciptaan Anirudh Ravichander ini menggabungkan penceritaan pantas, babak aksi dan humor.
Selain itu, filem ini juga menampilkan kemunculan istimewa beberapa pelakon, antaranya bintang Bollywood Hrithik Roshan, sekali gus menemukan semula beliau dengan Rajinikanth di layar perak selepas empat dekad. Hrithik pernah berlakon bersama-sama Rajinikanth ketika masih kanak-kanak menerusi filem Hindi Bhagwan Dada pada 1986.
Jailer 2 turut dibintangi beberapa lagi pelakon terkenal India, antaranya Mohanlal, Shiva Rajkumar, Vijay Sethupathi, Mithun Chakraborty, Vidya Balan, Jackie Shroff dan S.J. Suryah.

Di Malaysia, filem itu diedarkan oleh Malik Streams Corporation Sdn Bhd, iaitu filem kelima lakonan Rajinikanth yang diedarkan syarikat berkenaan di negara ini.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata pihaknya mahu memberikan pengalaman menonton yang sukar dilupakan kepada penonton Malaysia, di samping meraikan populariti bintang tersohor India itu yang telah berada dalam industri selama lima dekad.
“Rajinikanth telah menghiburkan peminat daripada pelbagai generasi, dan Jailer 2 menggabungkan aksi, humor, muzik serta kejutan yang tidak dijangka,” katanya kepada Bernama selepas majlis sambutan tayangan perdana gala Jailer 2 di sini malam tadi.
Majlis itu turut dihadiri wakil media, selebriti, pempengaruh, rakan industri dan tetamu jemputan.- Bernama





