DUN: Seluruh Krian disasar nikmati bekalan air bersih menjelang 2028

Facebook
WhatsApp
DATUK Friday Belik ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.

PETRA JAYA, 16 Oktober: Seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian disasarkan menikmati bekalan air bersih daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menjelang 2028 menerusi pelaksanaan dua projek bekalan air bernilai keseluruhan RM425 juta.

Datuk Friday Belik (GPS-Krian) berkata, kedua-dua projek berkenaan ialah Sistem Bekalan Air ke Daerah Saratok, Bahagian Betong, berjumlah RM185 juta serta projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong, Saratok, bernilai RM240 juta.

Menurutnya, projek sistem bekalan air Saratok yang bermula pada 1 Disember 2025 meliputi kawasan Ulu Sebetan, Brayang, Mudong, Tapang Ujan dan Kop Ibus.

Sementara itu, projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong yang bermula pada 8 Jun 2026 akan meningkatkan kapasiti rawatan air daripada 30 juta liter sehari kepada 60 juta liter sehari.

“Dengan siapnya projek ini nanti, seluruh kawasan DUN Krian akan mendapat bekalan air bersih daripada JBALB menjelang 2028.

“Ini sejajar dengan hasrat kita untuk memastikan tiada keluarga yang tercicir daripada bekalan air bersih dan selamat, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan DUN Sarawak, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan luar bandar seperti Krian memerlukan perhatian berterusan kerajaan bagi memastikan pembangunan infrastruktur asas dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

Beliau turut menyambut baik peruntukan RM6.4 bilion bagi pembangunan luar bandar di bawah Belanjawan Sarawak 2027, sambil berharap pelaksanaan inisiatif pembangunan sedia ada dapat diteruskan dan diperkukuh.

Menurutnya, Krian menerima peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM27.5 juta sejak 2022 bagi melaksanakan 206 projek yang melibatkan rumah panjang, sekolah, rumah ibadat dan prasarana awam.

Selain itu, sebanyak RM4.5 juta disalurkan menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dari 2022 hingga September 2026 bagi membantu 700 isi rumah membaik pulih kediaman masing-masing.

Bagi Projek Kecil Luar Bandar (MRP), sebanyak RM11.5 juta pula disalurkan kepada 985 penerima dalam tempoh 2022 hingga 2026, termasuk jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, persatuan, sekolah serta rumah ibadat.

Beliau turut menekankan kepentingan memperluas liputan telekomunikasi dan internet di kawasan yang masih mengalami masalah capaian, termasuk kawasan yang mempunyai liputan tidak stabil.

Katanya, peruntukan RM309 juta melalui kaedah pembiayaan alternatif dalam Belanjawan 2027 bagi pembinaan lebih banyak menara telekomunikasi di Sarawak diharap dapat turut memberi manfaat kepada penduduk Krian.

Dalam aspek ekonomi, beliau berkata, pertanian moden dan pelancongan berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan baharu bagi Bahagian Betong, selaras dengan hala tuju pembangunan yang diketengahkan Premier Sarawak.

Beliau berharap agensi berkaitan dapat merancang inisiatif yang sesuai bagi memanfaatkan potensi pertanian berteknologi moden serta keindahan alam semula jadi dan sosio budaya Krian sebagai tarikan pelancongan.

Oleh Shahrul Qaizat