Kanak-kanak sumbing perlu dilindungi daripada diskriminasi sosial

Facebook
WhatsApp
STEVEN Kong Kai Seng menyempurnakan gimik perasmian Sarawak Cleft Conference 2026 dan Sarawak Cleft Awareness Carnival 2026 sambil disaksikan tetamu jemputan di Imperial Hotel, Bintulu.

BINTULU, 16 Oktober: Kanak-kanak yang dilahirkan dengan sumbing bibir atau lelangit perlu diberikan peluang sama rata dalam pendidikan dan kehidupan bermasyarakat, selain dilindungi daripada ejekan serta diskriminasi sosial.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak berkenaan diterima dan membesar dengan penuh keyakinan diri.

Menurutnya, setiap kanak-kanak berhak mendapat penghormatan, galakan dan peluang dalam kehidupan di sekolah serta komuniti tanpa mengira keadaan fizikal mereka.

STEVEN Kong Kai Seng menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Sarawak Cleft Conference 2026 dan Sarawak Cleft Awareness Carnival 2026 di Imperial Hotel, Bintulu.

“Kita tidak seharusnya mengejek atau mendiskriminasi mereka dalam masyarakat.

“Kita semua bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang lebih baik agar kanak-kanak dengan keadaan sumbing diterima dan berkeyakinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng pada majlis perasmian Sarawak Cleft Conference 2026 dan Sarawak Cleft Awareness Carnival 2026 di Hotel Imperial di sini, hari ini.

Tiong berkata, usaha meningkatkan kesedaran awam juga penting bagi membetulkan salah tanggapan mengenai keadaan sumbing serta mengingatkan keluarga terlibat bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran berkenaan.

Menurutnya, ibu bapa dan penjaga digalakkan mendapatkan maklumat yang tepat daripada pasukan kesihatan serta memanfaatkan sokongan yang tersedia bagi membantu anak mereka.

Beliau memberitahu, penjagaan menyeluruh bagi pesakit sumbing memerlukan kerjasama pelbagai profesional kesihatan, termasuk pakar perubatan, profesional pergigian, ahli terapi pertuturan dan jururawat, selain sokongan keluarga serta masyarakat.

Persidangan dan karnival itu menjadi platform untuk menghimpunkan pakar, petugas kesihatan, organisasi komuniti dan keluarga bagi berkongsi kepakaran serta memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan penjagaan pesakit sumbing.

Oleh Carolyne Utih