Kuching City diikat Kitchee 1-1

Facebook
WhatsApp
SERI… Kuching City FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang wakil Hong Kong, Kitchee SC, dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Dua 2026/27. Foto Facebook Kuching City FC

PETRA JAYA, 15 Oktober: Kuching City FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang wakil Hong Kong, Kitchee SC, dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Dua 2026/27 di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak memperoleh kelebihan seawal minit kedua menerusi gol sendiri pertahanan Kitchee, Roger Riera, sebelum Everton Camargo menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat pada minit ke-13.

Gol pembukaan Kuching City hadir apabila hantaran ke belakang Riera gagal dikawal dengan kemas oleh penjaga gol Kitchee sehingga bola memasuki gawang sendiri.

Bagaimanapun, Kitchee segera bangkit apabila Camargo melakukan gerakan memotong ke dalam sebelum melepaskan rembatan kaki kiri dari dalam kotak penalti yang menerjah penjuru kanan atas gawang Kuching City.

Kuching City berpeluang kembali mendahului pada minit ke-31 menerusi Ajdin Mujagic, namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid selepas menerima hantaran lolos daripada Petrus Shitembi.

Aksi separuh masa pertama turut menyaksikan Ariff Farhan dilayangkan kad kuning pada minit ke-27 sebelum Gabriel Peres menerima amaran sama pada minit ke-42.

Memasuki babak kedua, Kuching City melakukan pertukaran dengan memasukkan Ryan Lambert bagi menggantikan Kaishu Yamazaki bagi memperkukuh persembahan pasukan.

Kitchee turut melakukan beberapa pertukaran pada minit ke-56 dan ke-62 dalam usaha mengubah rentak permainan.

Aidil kemudian melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-69 dengan memasukkan Ahmad Nawaf Israiwah dan Declan Lambert bagi menggantikan dua pemain lain.

Kuching City meneruskan pertukaran pada minit ke-80 apabila Safawi Rasid dimasukkan bagi menggantikan Dylan Halls, manakala Kitchee memasukkan Tan Chun Lok bagi menggantikan Adrian Revilla.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat perlawanan untuk berkongsi satu mata selepas terikat 1-1.

Perlawanan itu menyaksikan kehadiran 5,545 penonton di Stadium Taha Ariffin.

Oleh Shahrul Qaizat