MBKS tingkat keselamatan laluan belakang SJK (C) Sungai Apong

Facebook
WhatsApp
KEADAAN susur tangan kayu yang rosak dan uzur di laluan belakang SJK (C) Sungai Apong sebelum kerja penambahbaikan dilaksanakan oleh MBKS.

KUCHING, 15 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil langkah meningkatkan keselamatan laluan belakang yang sering digunakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Apong susulan kebimbangan dibangkitkan ibu bapa dan penduduk kawasan Selangan Batu.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, langkah itu dilaksanakan selaras dengan Pelan Tindakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) MBKS yang memberi penekanan terhadap audit keselamatan di kawasan sekolah dan persekitarannya.

Menurutnya, laluan berkenaan sering digunakan murid untuk ke sekolah terutama pada awal pagi, namun keadaan susur tangan kayu di sepanjang tangga sebelum ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

“Susur tangan kayu itu semakin uzur dan terdapat kes murid mengalami kecederaan akibat terkena bahagian kayu ketika menggunakan laluan tersebut.

“Bagi orang dewasa, perkara ini mungkin kelihatan kecil tetapi apabila kanak-kanak menggunakan laluan itu setiap hari, kita perlu melihatnya daripada sudut keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng meninjau susur tangan logam baharu yang dipasang di laluan belakang SJK (C) Sungai Apong bagi meningkatkan keselamatan murid sekolah.

Sehubungan itu, beliau berkata, MBKS mengambil tindakan menggantikan susur tangan kayu berkenaan dengan susur tangan logam yang lebih kukuh bagi memastikan laluan tersebut lebih selamat digunakan murid.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyumbang bahan serta kontraktor yang membantu melaksanakan kerja pemasangan berkenaan.

Wee berkata, usaha mewujudkan bandar mesra kanak-kanak bukan sekadar tertumpu kepada penganjuran aktiviti, sebaliknya turut merangkumi aspek keselamatan dalam kehidupan seharian mereka.

Katanya, audit keselamatan CFCI turut memberi perhatian terhadap keadaan laluan pejalan kaki, pencahayaan, tangga, pergerakan trafik serta kemudahan susur tangan di sekitar kawasan sekolah.

“Keselamatan kanak-kanak tidak hanya tertumpu dalam kawasan sekolah kerana mereka turut menggunakan pelbagai laluan dan kemudahan awam untuk pergi dan pulang dari sekolah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBKS akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah, ibu bapa, penduduk dan komuniti setempat bagi mengenal pasti kawasan berisiko serta melaksanakan penambahbaikan yang bersesuaian.

Menurutnya, kerjasama semua pihak amat penting memandangkan ibu bapa lebih mengetahui laluan yang digunakan anak-anak mereka, manakala penduduk memahami keadaan persekitaran kawasan masing-masing

Beliau berkata, penambahbaikan di Selangan Batu membuktikan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, masyarakat dan sektor swasta mampu menghasilkan penyelesaian praktikal terhadap isu keselamatan.

“Pemasangan susur tangan mungkin projek kecil, namun jika ia dapat mengelakkan seorang kanak-kanak daripada terjatuh atau mengalami kecederaan, usaha itu amat bermakna.

“Setiap penambahbaikan kecil menyumbang ke arah menjadikan Kuching Selatan sebuah bandar yang lebih selamat dan mesra kanak-kanak,” katanya.