11 jalan ditutup sementara di Betong sempena Larian Ria Madani HSN 2026

Facebook
WhatsApp
11 laluan jalan raya di sekitar Betong akan ditutup sementara pada Sabtu ini sempena penganjuran Larian Ria Madani 5 km dan Berjalan Kaki Ria Madani 2 km sempena HSN2026 Peringkat Negeri Sarawak. Foto IPD Betong

BETONG, 15 Oktober: Sebanyak 11 laluan jalan raya di sekitar Betong akan ditutup sementara pada Sabtu ini sempena penganjuran Larian Ria Madani 5 kilometer (km) dan Berjalan Kaki Ria Madani 2 km sempena Hari Sukan Negara 2026 (HSN2026) Peringkat Negeri Sarawak.

Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata penutupan berkenaan akan dilaksanakan dari 7.00 pagi hingga 9.00 pagi, dengan anggaran tempoh selama dua jam bagi memastikan keselamatan peserta serta kelancaran perjalanan program.

Menurut beliau, penutupan itu melibatkan beberapa jalan utama di sekitar Dewan Panglima Rentap dan Kompleks Sukan Betong.

Antara laluan terlibat ialah Jalan Pengarah Isak, Jalan Orang Kaya Pemancar Nanang menuju ke Simpang Empat Lampu Isyarat, Jalan Bebanggai dari Simpang Empat Lampu Isyarat menuju ke Medan (Jalan Spine) serta Jalan Betong B di hadapan Pejabat Pendidikan Daerah.

Turut terlibat ialah Jalan Sie Meng Chaw dari hadapan Shell menuju ke simpang ke Dewan Rentap, Jalan Temenggong Datuk Montegrai dari hadapan perpustakaan menuju ke Dewan Rentap, jalan di hadapan Pejabat Residen, Jalan Sie Kwang Ngak 1 di belakang SMK Saint Augustine, Jalan Jungkong di belakang Gereja Saint Augustine, Jalan Sie Kwang Ngak 2 dari hadapan Gmart menuju ke Bulatan Majlis Daerah atau Kompleks Sukan serta Jalan Rentap di hadapan SESCO.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengguna jalan raya di sekitar Betong dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan sepanjang tempoh penutupan.

PDRM turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan kawasan parkir yang telah ditetapkan, tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan atau persimpangan serta mematuhi arahan anggota polis bertugas dan papan tanda amaran di lokasi.

Pengguna jalan raya juga diminta bersabar dan berhati-hati sepanjang tempoh penutupan sementara itu demi memastikan keselamatan semua pihak.

PDRM memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul serta menghargai kerjasama orang ramai dalam membantu melancarkan penganjuran program berkenaan.

Oleh Adi Safarman