DUN: Masalah bekalan elektrik di pedalaman tuntut penyelesaian

Facebook
WhatsApp
DATO Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya. Foto UKAS

PETRA JAYA, 15 Oktober: Masalah bekalan elektrik di kawasan pedalaman Telang Usan dan Tellian perlu diberikan perhatian bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan asas yang lebih stabil dan berterusan.

Dato Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) berkata, sebanyak 32 rumah panjang di kawasannya berdepan masalah bekalan elektrik apabila bateri sistem tenaga solar yang semakin uzur gagal membekalkan tenaga sepanjang malam.

Menurutnya, kebakaran Stesen Solar Hibrid Kampung Long Atip pada 15 September lalu turut menjejaskan lebih 1,500 penduduk.

Sehubungan itu, beliau memohon peruntukan kira-kira RM50.49 juta bagi melaksanakan fasa kedua projek perintis menggunakan pendekatan Tenaga sebagai Perkhidmatan (EaaS) menerusi sistem Grid Maya untuk memulihkan bekalan elektrik di kawasan terjejas.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, di sini.

Dennis berharap pelaksanaan projek berkenaan dapat memastikan penduduk pedalaman Baram menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan berterusan.

Sementara itu, Royston Valentine (GPS-Tellian) berkata, sebanyak 378 permohonan projek bekalan elektrik di bawah ALAF di kawasannya masih belum dilaksanakan.

Menurutnya, permohonan tersebut melibatkan kawasan perkampungan dan rumah panjang yang memerlukan kemudahan bekalan elektrik lebih baik.

“Sebanyak 378 permohonan bagi projek ALAF telah dikemukakan dari kawasan Tellian dan belum dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, Royston meminta kementerian dan agensi berkaitan menjelaskan status permohonan yang telah diluluskan, masih dalam pertimbangan serta jangka masa pelaksanaannya.

Beliau turut meminta perkembangan terkini pelaksanaan Skim Elektrifikasi Luar Bandar Sarawak (RES) bagi memastikan penduduk luar bandar mendapat akses kepada kemudahan elektrik yang lebih baik.

Oleh Norman B