PETRA JAYA, 15 Oktober: Penduduk Ulu Baram bakal mendapat manfaat daripada peruntukan kawasan pertanian seluas 3,500 hektar (8,648.7 ekar) menerusi projek karbon hutan Shin Yang Sdn Bhd, sebagai usaha membantu meningkatkan sumber pendapatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Pengarah Eksekutif Shin Yang, Andy Wong Ko Hock berkata, inisiatif itu merupakan antara komitmen syarikat untuk memastikan pembangunan projek karbon hutan di kawasan seluas 26,353 hektar (65,107.6 ekar) bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemuliharaan alam sekitar, malah turut membawa manfaat ekonomi kepada komuniti.
Menurutnya, syarikat akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan penduduk setempat bagi melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan pertanian, pemuliharaan biodiversiti serta bantuan pendidikan.
Beliau berkata, penduduk juga berpeluang terlibat dalam aktiviti pemuliharaan ekosistem dan penanaman pokok, selain menerima latihan pertanian menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian.
“Kami mahu bekerjasama rapat dengan kerajaan dan masyarakat setempat supaya mereka turut menikmati manfaat daripada projek ini,” katanya ketika ditemu bual mengenai pembangunan projek karbon hutan Shin Yang di Ulu Baram.
Andy berkata, syarikat turut merancang bantuan pendidikan bagi membantu meningkatkan kesejahteraan isi rumah dalam kalangan komuniti yang terlibat.
Dalam pada itu, projek berkenaan dianggarkan berpotensi menghasilkan antara 250,000 hingga 350,000 tan metrik karbon setahun berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan bersama perunding dari Durham, termasuk kajian petak sampel kekal dan penilaian lain.
Katanya, nilai ekonomi kredit karbon bergantung pada keadaan pasaran karbon sukarela, dengan harga di beberapa pasaran Eropah dianggarkan sekitar AS$50 bagi setiap tan, manakala perbandingan bagi tapak di Sabah dan Sarawak adalah antara RM20 hingga RM50 bagi setiap tan.
Bagaimanapun, anggaran penghasilan karbon itu masih perlu melalui proses pengesahan dan verifikasi oleh badan pihak ketiga yang berkelayakan sebelum kredit karbon boleh dikeluarkan untuk tujuan perdagangan.
Mengenai hak masyarakat tempatan, termasuk pemegang hak tanah adat Bumiputera (NCR), Andy berkata semakan bersama Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei menunjukkan kawasan projek itu tidak berada di bawah tanah NCR yang diiktiraf secara rasmi.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa tuntutan komuniti yang bertindih dengan sebahagian kawasan projek.
Sehubungan itu, katanya, Shin Yang akan bekerjasama dengan komuniti terbabit bagi mencari penyelesaian yang dapat memberikan manfaat bersama kepada syarikat, penduduk dan kerajaan.
Beliau turut berkata syarikat sedang membangunkan keupayaan dalaman bagi menghadapi perkembangan pasaran karbon, termasuk kemungkinan perubahan dasar berkaitan cukai karbon pada masa hadapan.
Andy berharap kerjasama erat antara komuniti, kerajaan dan sektor swasta dapat membawa perubahan ketara kepada ekonomi tempatan Ulu Baram dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Oleh Shahrul Qaizat





