KUALA LUMPUR, 15 Oktober: Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal mempersembahkan karya baharu yang menggabungkan sape, alat muzik tradisional Sarawak, dengan orkestra Barat menerusi konsert Beats of Borneo: Alena Murang with the MPO di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 31 Oktober ini.
Karya berjudul Concerto for Sape and Orchestra ciptaan komposer kelahiran Sabah, Vivian Chua akan menjadi kemuncak konsert di bawah pimpinan Pengarah Muzik MPO Junichi Hirokami itu, dengan menampilkan pemain sape Alena Murang sebagai pemain solo.
Persembahan itu merupakan kolaborasi kedua Alena bersama-sama dengan MPO selepas penampilan sulungnya menerusi konsert Sounds of Borneo pada 2024.

Alena, 37, menyifatkan persembahan itu sebagai pencapaian bersejarah yang amat bermakna, bukan sahaja buat dirinya, malah komuniti penggiat sape dan warisan muzik Borneo.
“Jika dilihat 25 tahun lepas, generasi bapa saya, malah generasi saya sendiri, tidak pernah membayangkan sape boleh berada di pentas MPO dan mempersembahkan sebuah concerto. Ini adalah julung kali berlaku di dunia,” katanya kepada pemberita pada sidang media konsert itu di DFP, di sini semalam.
Mengulas persediaan teknikal, Alena berkata karya berdurasi 20 minit itu dibahagikan kepada tiga pergerakan dan dipersembahkan sepenuhnya secara instrumental tanpa nyanyian.

“Lagu ini tidak mempunyai bahagian nyanyian kerana kami mahu sape itu sendiri yang berbicara dan menyambut para penonton pada persembahan kali ini,” katanya.
Beliau berkata persiapan bagi karya itu turut menuntutnya mempelajari kaedah muzik klasik Barat secara lebih berstruktur, termasuk membaca notasi pada manuskrip muzik dan menterjemahkannya kepada kedudukan nota pada fret sape.
“Selalunya saya mempelajari sape menerusi pendengaran. Walaupun saya boleh membaca nota muzik untuk saksafon, membaca manuskrip bagi sape memerlukan saya menterjemahkan nota seperti A, B, C dan D terus ke atas fret sape,” katanya.
Alena turut memuji kepekaan Chua dalam menggubah karya itu, khususnya pemilihan instrumen orkestra Barat seperti obo dan basun yang menurutnya melengkapi serta menyerlahkan karakter unik sape.
Konsert itu turut menampilkan karya Maurice Ravel, Le Tombeau de Couperin, sebagai pembuka tirai sebelum diakhiri dengan Simfoni No. 40 karya Wolfgang Amadeus Mozart.
Mengulas perancangan kerjayanya, Alena yang berketurunan Kelabit dan Itali, berkata beliau sedang menyiapkan album penuh yang berteraskan bahasa tempatan di Sarawak, selain merancang kolaborasi khas dengan artis Orang Asli di Semenanjung Malaysia.- Bernama





