KUCHING, 15 Oktober: Sebuah kereta jenis Proton X50 musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Lorong Ceria, Borneo Semariang Garden, di sini, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, PBK I Ibrahim Assan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.09 malam sebelum tiba di lokasi pada 10.27 malam.
Menurutnya dalam kenyataan hari ini, kebakaran melibatkan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan itu berjaya dipadamkan sepenuhnya menggunakan satu aliran saluran bantu mula.

Operasi berjaya dikawal pada 10.45 malam dan ditamatkan pada 10.50 malam selepas pasukan memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula serta keadaan di lokasi selamat.
Kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa atau kehilangan nyawa.
Seramai 11 anggota bomba digerakkan ke lokasi dengan sebuah jentera bomba (FRT) dan sebuah kenderaan Urvan. Polis turut berada di lokasi bagi membantu operasi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Afiq Sallehi





