Kitchee akui Kuching City kuat di laman sendiri

Facebook
WhatsApp
KETUA jurulatih Kitchee SC, Inigo Calderon bersama pemainnya, Jason Kam Chi Kin pada sidang media menjelang pertemuan menentang Kuching City FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL Two) di Stadium Taha Ariffin, esok.

PETRA JAYA, 14 Oktober: Ketua jurulatih Kitchee SC, Inigo Calderon mengakui Kuching City FC mempunyai kekuatan tersendiri apabila beraksi di laman sendiri, sekali gus menjangkakan pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL Two) di Stadium Taha Ariffin, esok, bakal menjadi cabaran sukar buat kelab Hong Kong itu.

Beliau berkata, Kitchee perlu menyesuaikan diri dengan keadaan di tempat lawan, namun tetap menyasarkan tiga mata daripada pertemuan Kumpulan H itu.

“Kami tahu perlawanan esok sukar, terutama kerana Kuching City merupakan pasukan yang kuat di laman sendiri. Kami perlu menyesuaikan diri dan cuba menerapkan corak permainan kami di sini.

“Kami datang tanpa tekanan berlebihan. Sasaran kami adalah untuk menang dan jika tidak, kami akan cuba mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Taha Ariffin, hari ini.

Calderon berkata, keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi pembukaan Kumpulan H memberikan Kitchee satu mata, namun pasukannya menjangkakan cabaran berbeza apabila beraksi di tempat lawan dalam kempen berkenaan.

Menurutnya, beliau tidak mahu menetapkan sasaran mata tertentu sepanjang kejohanan, sebaliknya mahu pemain memberikan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan.

Beliau turut mengakui sukar meramalkan kesebelasan utama Kuching City kerana pasukan itu mempunyai skuad yang besar dan melakukan penggiliran pemain dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

Katanya, analisis terhadap lawan penting bagi mendapatkan maklumat, namun Kitchee tetap mahu memberikan tumpuan kepada corak permainan sendiri sambil berwaspada terhadap pemain Kuching City yang sedang berada dalam prestasi baik.

Mengenai keadaan skuadnya, Calderon berkata, status dua pemain, Dudu dan Yumemi, hanya akan diketahui pada saat akhir kerana kedua-duanya masih berusaha untuk kembali cergas bagi membantu pasukan.

Beliau mengakui Kitchee turut kehilangan beberapa pemain utama, namun yakin dengan kemampuan pemain yang ada untuk menghadapi cabaran di Kuching.

KETUA jurulatih dan pemain Kitchee SC berkongsi persiapan serta keyakinan pasukan menjelang aksi menentang Kuching City FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL Two).

Mengulas mengenai sokongan penyokong tuan rumah, Calderon menjangkakan suasana meriah di stadium, terutama kerana perlawanan peringkat Asia membawa kepentingan tersendiri kepada kedua-dua pasukan.

Katanya, kehadiran ramai penyokong merupakan cabaran positif dan pemain tidak seharusnya gentar dengan suasana bising di stadium.

Sementara itu, pemain Kitchee, Jason Kam Chi Kin berkata, pasukannya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental selepas menjalani sesi latihan di Kuching.

Beliau mengakui Kuching City mempunyai beberapa pemain berkualiti, termasuk penyerang Ajdin Mujagić, namun menegaskan Kitchee akan memberikan tumpuan kepada persiapan dan pelaksanaan pelan permainan sendiri.

“Kami tahu Kuching mempunyai penyerang dan ramai pemain yang bagus. Kami akan memberikan perhatian kepada mereka, tetapi tumpuan utama tetap kepada permainan kami sendiri,” katanya.

Jason berkata, keadaan cuaca di Kuching hampir sama dengan Hong Kong, sekali gus membantunya dan rakan sepasukan menyesuaikan diri menjelang perlawanan.

Dalam pada itu, Calderon turut memuji layanan yang diterima pasukannya sejak tiba di Kuching, termasuk bantuan daripada petugas hotel dan pemandu bas.

Beliau berkata, layanan mesra itu memberikan pengalaman positif kepada rombongan Kitchee serta mencerminkan keramahan masyarakat tempatan terhadap pasukan pelawat.

Kitchee membuka kempen Kumpulan H ACL Two dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Gangwon FC dari Korea Selatan, manakala Kuching City tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown FC dalam aksi pembukaan mereka.

Perlawanan esok menjadi peluang buat kedua-dua pasukan memburu kemenangan pertama dalam kempen ACL Two musim ini.

Oleh Afiq Sallehi