Aidil akui The Cats ‘underdog’, tekad beri tentangan kepada Kitchee

Facebook
WhatsApp
KETUA jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya berstatus underdog berbanding Kitchee SC, namun bertekad memberikan tentangan sengit dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL Two) di Stadium Taha Ariffin, esok.

PETRA JAYA, 14 Oktober: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya berada dalam kedudukan pasukan bukan pilihan atau underdog menjelang pertemuan dengan Kitchee SC, namun bertekad memastikan The Cats memberikan tentangan sengit dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL Two) di Stadium Taha Ariffin, esok.

Beliau berkata, pengalaman luas kelab Hong Kong itu dalam pertandingan domestik dan antarabangsa menjadikan Kitchee lawan yang sukar, sekali gus menuntut Kuching City beraksi dengan disiplin tinggi serta semangat juang yang kental.

“Kami perlu kekal merendah diri dan terus dahagakan kemenangan. Saya mahu pemain membuktikan sesuatu dalam perlawanan ini,” katanya pada sidang media menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Taha Ariffin, hari ini.

Aidil berkata, perlawanan itu penting bagi Kuching City untuk bangkit selepas tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown FC dalam aksi pembukaan Kumpulan H di Kemboja pada 17 September lalu.

Menurutnya, pasukan itu membuat persiapan dengan mengambil kira tempoh pemulihan yang singkat selepas mengharungi jadual perlawanan padat, dengan tumpuan diberikan kepada kecergasan pemain dan persediaan menghadapi corak permainan Kitchee.

“Kami tahu Kitchee mempunyai ramai pemain berkualiti dan sistem permainan yang baik berdasarkan analisis video yang dilakukan.

“Namun, kami mahu memberikan persembahan terbaik di laman sendiri dan membuktikan bahawa kami layak bersaing dalam kejohanan ini,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan penyokong dari Kuching dan seluruh Sarawak yang sanggup menempuh perjalanan jauh untuk hadir ke stadium.

Katanya, sokongan itu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk memberikan aksi terbaik dan menghadiahkan keputusan positif kepada penyokong sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Aidil mengesahkan beberapa pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan sudah pulih, termasuk kapten pasukan, James Okwuosa, yang berpeluang kembali memperkuat skuad dalam perlawanan berkenaan.

KETUA jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak bersama pemainnya, Dylan Wenzel-Halls pada sidang media menjelang pertemuan menentang Kitchee SC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL Two).

Penggiliran pemain turut dilakukan bagi memastikan kecergasan skuad dapat diurus dengan baik ketika menghadapi jadual pertandingan yang padat.

Sementara itu, pemain Kuching City, Dylan Wenzel-Halls berkata, pasukan itu berazam memberikan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri selepas keputusan mengecewakan dalam perlawanan pembukaan.

Beliau berkata, pengalamannya beraksi dalam pertandingan peringkat Asia bersama Central Coast Mariners sebelum ini memberinya gambaran tentang tahap persaingan yang lebih tinggi berbanding bola sepak domestik.

“Bola sepak Asia dimainkan pada tahap berbeza, dengan permainan yang lebih pantas dan intensiti tinggi. Pengalaman itu membantu saya, tetapi kami perlu bekerja sebagai satu pasukan untuk melaksanakan pelan permainan dengan baik,” katanya.

Dylan berkata, keserasian antara pemain semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan, meskipun penggiliran pemain perlu dilakukan bagi menghadapi jadual padat.

Beliau menegaskan bahawa seluruh pasukan akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan penyokong mempunyai sesuatu untuk dibanggakan.

“Kami mahu membawa kebanggaan kepada Sarawak, Malaysia dan khususnya Kuching. Kami akan memberikan segala-galanya di atas padang,” katanya.

Kuching City membuka kempen Kumpulan H ACL Two musim 2026/2027 dengan kekalahan 1-2 kepada Phnom Penh Crown, manakala Kitchee terikat seri tanpa jaringan dengan wakil Korea Selatan, Gangwon FC.

Pertemuan di Stadium Taha Ariffin itu menjadi peluang buat Kuching City memburu kemenangan pertama dalam kempen ACL Two musim ini.

Oleh Afiq Sallehi