KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepat kelulusan pembinaan Kompleks Kesihatan Bersepadu Sri Aman susulan keadaan Klinik Kesihatan Sri Aman yang dilaporkan mengalami kerosakan struktur dan dikenal pasti tidak selamat digunakan.
Beliau berkata, isu itu memerlukan tindakan segera memandangkan klinik berkenaan terpaksa menampung antara 300 hingga 500 pesakit sehari, jauh melebihi kapasiti asalnya sebagai Klinik Kesihatan Jenis 4.
Menurutnya, laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertarikh 6 Disember 2023 turut merekodkan masalah mendapan tanah serta keretakan serius pada bangunan sehingga 12 milimeter.
“Walaupun perkara ini telah dibangkitkan berulang kali, termasuk dalam perbahasan Belanjawan 2025, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026, rakyat Sri Aman masih menunggu penyelesaian yang tuntas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau mempersoalkan perkara yang masih menghalang kelulusan projek berkenaan walaupun lawatan pihak KKM dan laporan teknikal telah menunjukkan keperluan mendesak untuk menaik taraf kemudahan kesihatan itu.
Katanya, pesakit masih terpaksa menunggu di bawah kanopi sementara, terdedah kepada panas, hujan dan jerebu, manakala petugas kesihatan pula perlu bekerja dalam keadaan yang semakin mencabar.
Justeru, beliau meminta KKM memberikan penjelasan mengenai status kelulusan, peruntukan dan garis masa pelaksanaan projek berkenaan.
“Keselamatan pesakit tidak boleh terus ditangguhkan atas alasan birokrasi. Setiap ringgit yang diperuntukkan mesti membawa perubahan yang nyata kepada rakyat, khususnya di Sri Aman,” tegasnya.
Dalam perbahasan sama, Doris turut membangkitkan isu kekurangan pegawai perubatan di Hospital Sri Aman apabila hanya enam daripada 20 pegawai perubatan yang dijadualkan dilaporkan hadir pada 28 September lalu.
Beliau meminta KKM mengesahkan angka tersebut serta menjelaskan jumlah sebenar pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan, telah melapor diri dan tidak melapor diri di hospital serta klinik di Sarawak.
Menurutnya, kekurangan tenaga kerja kesihatan perlu ditangani secara menyeluruh melalui pengisian jawatan, penyediaan kemudahan mencukupi, imbuhan munasabah serta perlindungan kebajikan petugas, terutama mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman.
Doris turut menegaskan kepentingan memperkukuh autonomi kesihatan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam aspek pengambilan tenaga kerja, kuasa membuat keputusan dan penyampaian perkhidmatan.
Katanya, pendekatan itu bukan bertujuan mencabar Kerajaan Persekutuan, sebaliknya membolehkan keputusan dibuat dengan lebih fleksibel dan pantas berdasarkan realiti geografi Sarawak.
Selain isu kesihatan, Doris turut membangkitkan masalah bekalan air bersih yang menjejaskan 14 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman.
Daripada jumlah itu, lima sekolah mengalami tekanan bekalan air awam yang tidak konsisten, manakala sembilan lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber air alternatif.
Beliau berkata, masalah tersebut bukan sekadar menjejaskan keselesaan, malah memberi kesan kepada aspek sanitasi, kesihatan murid, operasi kantin dan asrama serta kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan bekalan air, termasuk tangki simpanan dan sistem bekalan dalaman sekolah.
Beliau turut menggesa KPM bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) untuk melaksanakan penyelesaian jangka panjang yang mempunyai peruntukan serta garis masa jelas.
Dalam pada itu, Doris menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan projek menaik taraf Jalan Pantu–Keranggas dan Jalan Engkeranji di Pantu yang diluluskan di bawah RMK-12 pada 2021 dengan siling peruntukan RM141.96 juta.
Beliau berkata, selepas lima tahun, kerja-kerja projek berkenaan masih belum bermula, sedangkan jalan itu merupakan laluan utama bagi kira-kira 30 kampung dan beberapa sekolah rendah.
Menurutnya, sebanyak 42 lokasi dikenal pasti mengalami kerosakan teruk sepanjang kira-kira 20 kilometer laluan berkenaan.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan Sarawak mengambil tindakan segera menggunakan peruntukan penyelenggaraan yang tersedia, sementara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mempertimbangkan peruntukan khas untuk membaiki 42 lokasi kritikal tanpa perlu menunggu projek utama dimulakan.
Menyentuh geran khas interim RM1.5 bilion kepada Sarawak, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peningkatan peruntukan daripada RM600 juta.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembayaran interim itu tidak boleh menggantikan keperluan memuktamadkan formula geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Sarawak memerlukan formula yang jelas, telus, objektif dan mampan bagi memastikan perancangan pembangunan serta kewangan negeri dapat dilaksanakan secara teratur berdasarkan semangat MA63.
Dalam aspek pendidikan pula, beliau meminta peruntukan Belanjawan 2027 mengambil kira keperluan sebenar sekolah luar bandar dan pedalaman, termasuk baki 40 projek sekolah daif di Sarawak yang masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan selepas 81 projek berjaya disiapkan.
Mengakhiri perbahasannya, Doris menegaskan bahawa kejayaan Belanjawan 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya melalui keberkesanan pelaksanaan dan manfaat yang benar-benar dinikmati rakyat.
“Semoga Belanjawan 2027 ini benar-benar ‘menggapai di langit, mengakar di bumi’,” katanya.
Oleh Adi Safarman





