PULAU BRUIT: Sumbangan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM348,620 disalurkan semasa lawatan kerja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol selama dua hari di tujuh penempatan dalam kawasan DUN Semop.
Antara penerima sumbangan tersebut ialah dua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan (SK) Mohd Redeh, Kampung Saai (RM6,000) dan SK Tekajong (RM1,000).
Manakala empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Kampung Masjid Tekajong (RM88,000), Kampung Penibong (RM3,420) dan Kampung Sedo (RM90,000).
Turut menerima MRP ialah JKKK rumah panjang iaitu Rumah Sulong (RM15,000), Rumah Atat (RM38,000), Rumah Gawai (RM24,000) dan Jawatankuasa Panel Klinik Kesihatan Betanak (RM81,000).
Sumbangan peruntukan tersebut adalah untuk pembelian pelbagai barangan keperluan seperti komputer dan mesin cetak.
Manakala JKKK kampung dan rumah panjang pula menerima peruntukan dana untuk melaksana projek bina baru dan baikipulih beberapa kemudahan awam dalam kampung dan rumah panjang seperti jeti, jalan titian dan pembinaan tempat letak kenderaan.
Ketika diminta untuk mengulas mengenai kes positif yang masih meningkat, Abdullah menyatakan bahawa keadaan itu tidak terlalu membimbangkan beliau serta warga kerja pusat khidmat kerana semua mereka telah menerima suntikan vaksin yang lengkap.
Disamping itu, beliau serta warga kerja sentiasa berwaspada kerana menyedari bahawa suntikan vaksin yang lengkap bukan satu jaminan mutlak perlindungan daripada ancaman jangkitan virus Covid-19.
Justeru itu, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) asas seperti pengunaan pelitup muka, kebersihan diri, penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan mesti menjadi rutin dan amalan norma kehidupan dan budaya kerja yang baru.
“Bila kita memasuki fasa endemik, walaupun majoriti besar masyarakat telah menerima suntikan vaksin, untuk mempastikan kehidupan kita tidak terus diancam jangkitan virus Covid-19, masyarakat harus berdisplin, bertanggungjawab dan sentiasa patuh kepada panduan-panduan pencegahan serta arahan-arahan pihak yang berkuasa dari masa ke semasa,” katanya.
Abdullah yang juga merupakan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) percaya virus Covid-19 ini tidak mungkin dapat dihapuskan sepenuhnya untuk beberapa tahun akan datang seperti nyamuk aedes yang mustahil dapat dibunuh semua untuk mengelak jangkitan denggi.
“Namun kehidupan serta urusan kerja harus diteruskan. Untuk mempastikan suasana kehidupan kita di fasa endemik berjalan lancar dan tidak terlalu tertekan, setiap ahli masyarakat mesti bekerjasama dan jangan bersikap degil dan mementing diri sendiri,” ujarnya.
Oleh EARL ANEK