PETRA JAYA, 14 Oktober: Sebanyak RM13.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Ngemah.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki berkata, sebanyak 49 rumah panjang yang melibatkan 751 isi rumah telah menerima bekalan elektrik menerusi projek itu sejak 2020.
“Sebanyak 49 rumah panjang yang melibatkan 751 isi rumah telah menerima bekalan elektrik di bawah Projek Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles sejak 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anyi Jana (GPS-Ngemah) ketika sidang DUN Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Menurut Ibrahim, lima lagi rumah panjang yang melibatkan 82 isi rumah masih dalam pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat mulai suku pertama 2027.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan berdepan beberapa cabaran, termasuk mendapatkan kebenaran laluan bagi pemasangan infrastruktur elektrik, keadaan bentuk muka bumi yang mencabar serta kesukaran akses ke tapak projek.
“Antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek penyambungan bekalan elektrik di DUN Ngemah ialah mendapatkan kebenaran izin lalu, keadaan topografi yang mencabar serta kesukaran akses ke tapak projek,” ujarnya.
Oleh Adele Rissa



