PETRA JAYA, 14 Oktober: Projek pembinaan Klinik Kesihatan baharu Jenis 7 di Ba’Kelalan bernilai RM14.8 juta telah diluluskan dan kini dalam proses tender.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, projek itu dijangka siap pada suku keempat 2028.
“Untuk makluman, sebuah Klinik Kesihatan baharu Jenis 7 telah diluluskan dengan peruntukan RM14.8 juta dan pelaksanaannya kini dalam proses tender,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Baru Bian (GPS-Ba’Kelalan) pada sidang DUN Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Dalam pada itu, Michael berkata projek menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik di Klinik Kesihatan Long Semadoh, Lawas, termasuk pemasangan sistem tenaga solar, turut diluluskan dengan peruntukan RM4 juta.
Menurut beliau, projek yang bermula pada 19 Julai 2026 itu dijangka siap pada suku ketiga 2027.
Sementara itu, kerja-kerja naik taraf Klinik Kesihatan Ba’Kelalan dan Klinik Kesihatan Long Semadoh di bawah Projek Klinik Daif telah selesai masing-masing pada 19 November 2024 dan 22 Oktober 2024.
Klinik Kesihatan Ba’Kelalan menerima peruntukan RM450,000, manakala Klinik Kesihatan Long Semadoh menerima RM300,000 bagi kerja-kerja naik taraf berkenaan.
Oleh Adele Rissa




