Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kota Samarahan

Facebook
WhatsApp
KEADAAN motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut di KM17, Jalan Kota Samarahan–Sadong Jaya, malam tadi, yang meragut nyawa seorang lelaki berusia 21 tahun.

KOTA SAMARAHAN, 14 Oktober: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut dalam kemalangan membabitkan motosikal Yamaha Lagenda dan sebuah kereta Perodua Bezza di KM17, Jalan Kota Samarahan–Sadong Jaya, kira-kira 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan kereta berkenaan, lalu menyebabkan perlanggaran.

“Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan, manakala pemandu kereta berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp Iman Ho Min Yi, di talian 012-262 0018 bagi membantu siasatan.

Mohd Irwan turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.