Kesihatan mental perlu diberi perhatian setara dengan kesihatan fizikal

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien bergambar bersama yang lain di program ANMS), Sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Parlimen Julau di Rumah Jembau Lau, Nanga Kota. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU, 13 Oktober: Penjagaan kesihatan mental perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat, seiring dengan penjagaan kesihatan fizikal bagi memastikan kesejahteraan individu, keluarga dan komuniti terus terpelihara.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat supaya penjagaan kesihatan tidak hanya tertumpu pada aspek fizikal.

Menurut beliau, pembudayaan gaya hidup sihat merupakan langkah penting untuk membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap kepentingan menjaga kesejahteraan diri dan keluarga.

“Dalam program ini, saya menyeru masyarakat supaya sentiasa mengutamakan penjagaan kesihatan, termasuk kesihatan mental, serta mengamalkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Parlimen Julau di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Rumah Jembau Lau, Nanga Kota, Pakan, semalam.

Katanya, penganjuran program kesedaran kesihatan pada peringkat komuniti penting bagi memastikan masyarakat, khususnya penduduk luar bandar, mendapat maklumat yang dapat membantu mereka memahami kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.

Menurut beliau, akses kepada maklumat kesihatan dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang amalan yang menyokong kesejahteraan fizikal dan mental, selain menggalakkan mereka memberikan perhatian terhadap tahap kesihatan masing-masing.

“Bagi saya, program seperti ini amat bermakna kerana memberikan peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan kesihatan, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha meningkatkan kesedaran tentang kesihatan perlu dilaksanakan secara berterusan agar amalan hidup sihat dapat dijadikan sebahagian daripada budaya masyarakat.

Larry turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) atas penganjuran program berkenaan di kawasan Parlimen Julau.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada KKM kerana mengadakan program ini di sini serta atas usaha menjayakannya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu kesihatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Larry mengumumkan peruntukan berjumlah RM21,000 untuk tahun 2027 kepada empat penerima bagi menyokong keperluan masyarakat serta memperkukuh kesedaran dan penjagaan kesihatan di kawasan berkenaan.

Empat penerima peruntukan itu ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jembau, Nanga Kota, Biro Wanita Rumah Jembau, Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei dan Klinik Kesihatan Nanga Kara.

Beliau berharap peruntukan tersebut dapat membantu memenuhi keperluan penduduk setempat serta menyokong pelaksanaan inisiatif kesedaran dan penjagaan kesihatan.

Larry turut berharap program kesedaran kesihatan berasaskan komuniti dapat diteruskan secara berterusan bagi menggalakkan masyarakat mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Oleh Earl Anek

Gunung Semeru meletus, abu cecah 900 meter

JAKARTA, 13 Oktober: Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia, meletus sekurang-kurangnya 10 kali pada Selasa, menghamburkan abu gunung berapi sehingga