KPM mohon pelantikan 317 guru simpanan untuk isi kekosongan jawatan, termasuk di Sarawak

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Pendidikan Wong Kah Woh ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Oktober: Kementerian Pendidikan (KPM) telah memohon kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk melantik 317 calon guru simpanan bagi mengisi pelbagai kekosongan jawatan guru di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata permohonan yang dikemukakan pada September 2026 itu melibatkan sebahagian daripada 880 calon guru simpanan yang masih menunggu tawaran pelantikan.

Beliau berkata daripada 4,417 calon guru simpanan bagi ambilan 2025, seramai 3,537 orang telah ditawarkan pelantikan setakat 30 September lepas, termasuk 114 calon dari Sarawak.

“Bagi mengisi kekosongan jawatan guru, termasuk di Sarawak, SPP sedang melaksanakan temu duga bagi urusan pengambilan guru melalui pasaran terbuka untuk tahun 2026. Proses itu bermula pada Mei 2026 dan dijangka berakhir pada November 2026,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai jumlah calon guru simpanan dari Sarawak, statistik kekosongan jawatan mengikut opsyen serta perancangan untuk melantik calon berkenaan.

Wong berkata penempatan guru baharu, termasuk graduan Institut Pendidikan Guru (IPG), setakat 30 September lepas telah meningkatkan kadar pengisian jawatan guru di Sarawak kepada 98.84 peratus secara keseluruhan, dengan kadar pengisian sebanyak 98.61 peratus di sekolah menengah dan 98.98 peratus di sekolah rendah.

Menurutnya, Sarawak merekodkan 500 kekosongan jawatan guru, iaitu 224 di sekolah menengah dan 276 di sekolah rendah.

Beliau berkata di sekolah menengah, kekosongan itu antaranya melibatkan opsyen mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Sains. Di sekolah rendah pula, kekosongan paling banyak dicatatkan bagi opsyen Matematik, Muzik serta Guru Bimbingan dan Kaunseling. – Bernama

Gunung Semeru meletus, abu cecah 900 meter

JAKARTA, 13 Oktober: Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia, meletus sekurang-kurangnya 10 kali pada Selasa, menghamburkan abu gunung berapi sehingga