KPKT sasar setiap ibu negeri ada kemudahan tandas pintar BMW-i

Facebook
WhatsApp
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Aming melihat sendiri kemudahan yang disediakan di Tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW-i) selepas merasmikan BMW-I di Dataran Putra hari ini.

PUTRAJAYA, 13 Oktober: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan setiap ibu negeri di seluruh negara memiliki sekurang-kurangnya sebuah tandas pintar Bersih, Menawan dan Wangi (BMW-i) sebagai penanda aras baharu kemudahan tandas awam, dengan kos pembinaan tidak melebihi RM1 juta sebuah.

Menterinya Nga Kor Ming berkata projek itu dimulakan di Putrajaya sebelum diperluaskan ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke ibu negeri lain termasuk Ipoh, George Town, Kuching, Kota Kinabalu serta Johor Bahru.

“Kita memilih untuk memulakannya di lokasi ini kerana Putrajaya merupakan pusat pentadbiran negara dan perlu menunjukkan teladan yang baik.

“Sebuah tandas pintar, kosnya kurang RM1 juta, yang meliputi semua pakej termasuk peralatan, landskap, pelantar tinjau, infrastruktur dan sistem. Jadi, kita menetapkan penanda aras bahawa kos bagi setiap tandas BMW-i tidak melebihi RM1 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan tandas BMW-i di Dataran Putra, di sini hari ini.

Tandas BMW-i Dataran Putra dilengkapi pelbagai teknologi pintar termasuk mangkuk tandas dengan penutup tempat duduk dan sistem curahan automatik, pili air serta dispenser sabun tanpa sentuhan, sistem pewangi pintar berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT), indikator penggunaan kubikel serta sensor persekitaran bagi memantau pencahayaan, kualiti udara, paras ammonia, suhu dan kelembapan.

Kemudahan awam itu turut dilengkapi sistem pengiraan pengguna, pengesan asap, sistem pengering dan pembersihan lantai automatik, panel maklum balas pengguna, aplikasi mudah alih bagi menjejak kerja pembersihan serta papan pemuka pemantauan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penyelenggaraan.

Nga berkata pengenalan tandas BMW-i merupakan kesinambungan usaha KPKT dalam mentransformasikan kemudahan awam negara melalui penggunaan teknologi pintar.

“Melalui BMW-i, kita mahu menyediakan kemudahan yang bukan sahaja bersih, menawan dan wangi, malah lebih pintar dan selesa untuk orang awam. 

“Penggunaan teknologi pintar membolehkan tahap kebersihan dan penyelenggaraan dipantau secara lebih cekap, sistematik dan berterusan demi kesejahteraan rakyat serta meningkatkan imej negara,” katanya.

Nga berkata KPKT dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Pendidikan (KPM), telah berjaya membina dan menaik taraf 11,835 tandas di seluruh negara mengikut standard Bersih, Menawan dan Wangi (BMW-i) sejak 2023.

“Menerusi kerjasama dengan PBT dan KPM, Kerajaan MADANI telah berjaya menaik taraf sebanyak 1,592 tandas awam di bawah PBT serta kemudahan tandas di 10,243 sekolah di seluruh negara.

“Pada masa ini, terdapat sebanyak 3,940 tandas awam dalam kawasan pentadbiran dan operasi PBT di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,182 tandas atau 80.8 peratus telah mencapai penarafan empat bintang dan ke atas,” katanya.

Nga dalam pada itu berkata projek membina dan menaik taraf tandas pintar BMW-i disifatkan sebagai pelaburan strategik yang mampu memberikan impak lebih luas kepada negara, khususnya dalam meningkatkan kualiti kemudahan awam dan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, penyediaan tandas awam yang bersih dan selesa penting memandangkan Malaysia mahu menarik kedatangan pelancong lebih ramai, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 hingga 2027.

Sementara itu, Nga berkata KPKT akan menganjurkan Majlis Anugerah Tandas Terbaik (TOTYA) 2026 pada 20 Oktober ini bagi memberikan pengiktirafan kepada pelbagai pihak yang menunjukkan komitmen dan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan tahap kebersihan serta kualiti tandas awam.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan pada tahun ini, merangkumi kompleks beli-belah, stesen minyak, hotel, kawasan rehat dan rawat (R&R), restoran, sekolah, rumah ibadat serta PBT.- Bernama