DUN: Bahasa dan warisan etnik Sarawak berisiko hilang jika tidak direkodkan

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang Leong Ming (GPS-Tanjong Batu) membahaskan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 13 Oktober: Bahasa dan warisan masyarakat etnik Sarawak berisiko hilang apabila generasi muda semakin kurang menggunakan bahasa ibunda, manakala pengetahuan tradisional yang dimiliki warga emas masih banyak belum direkodkan.

Johnny Pang Leong Ming (GPS-Tanjong Batu) berkata, keadaan itu membimbangkan khususnya bagi masyarakat etnik seperti Kelabit, Penan, Kenyah dan Kayan yang mempunyai bahasa serta tradisi tersendiri.

“Masih ramai warga emas menyimpan pengetahuan mengenai cerita tradisional, lagu, puisi dan bahasa masyarakat masing-masing yang mungkin hilang apabila mereka meninggal dunia.

“Apabila sesuatu bahasa hilang, kita bukan sekadar kehilangan cara berkomunikasi, tetapi turut kehilangan sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Sehubungan itu, Johnny mencadangkan kerajaan Sarawak membangunkan arkib digital bahasa peribumi dan warisan lisan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu generasi muda mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

“Rakaman suara warga emas yang fasih bertutur dalam bahasa tempatan boleh digunakan untuk membangunkan program pembelajaran AI, termasuk membantu kanak-kanak mempelajari sebutan, berlatih perbualan dan memahami ungkapan tradisional.

“Turut dicadangkan Pustaka Negeri Sarawak bekerjasama dengan komuniti peribumi, persatuan kebudayaan, universiti dan penyelidik bagi memastikan bahasa serta tradisi direkodkan dengan tepat dan mendapat persetujuan masyarakat terbabit,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengetahuan masyarakat Bidayuh yang masih banyak diwarisi secara lisan, termasuk adat resam, sejarah pembukaan kampung dan penghijrahan masyarakat.

DR Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) membahaskan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya.

“Kerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) penting bagi memastikan pengetahuan tersebut dapat dikumpul dan dipelihara sebelum hilang bersama generasi terdahulu,” tambahnya.

Dalam perbahasan sama, Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) mencadangkan Pustaka Negeri Sarawak bekerjasama dengan pemimpin masyarakat, sekolah dan pertubuhan kebudayaan untuk merakam sejarah serta tradisi masyarakat rumah panjang di Tamin dan Selangau.

“Temu bual bersama warga emas, gambar lama dan rekod keluarga boleh dijadikan bahan rujukan generasi akan datang, dengan mengambil kira persetujuan pemilik serta kerahsiaan maklumat tertentu,” katanya.

Royston Valentine (GPS-Tellian) pula menekankan kepentingan memelihara kepelbagaian bahasa, budaya dan adat resam masyarakat Sarawak supaya warisan tersebut terus dikenali generasi muda.

Untuk rekod, pindaan RUU berkenaan memperkenalkan peruntukan berkaitan arkib peringatan bagi membolehkan Pustaka Negeri Sarawak menubuhkan, mengurus dan menyelenggara arkib yang memelihara bahan sejarah negeri.

Oleh Masrin Affirah