PETRA JAYA, 13 Oktober: Pengambilalihan sepenuhnya pengurusan dan operasi Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak dijangka memperkukuh rangkaian logistik negeri serta merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata, langkah itu membolehkan kerajaan negeri merancang, menyelaras dan membangunkan sektor pelabuhan serta rangkaian logistik secara lebih bersepadu.
Beliau berkata, pengambilalihan itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan aset strategik diurus selaras dengan kepentingan ekonomi dan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebagai pintu masuk perdagangan utama dan hab eksport gas asli cecair (LNG) terbesar negara, Pelabuhan Bintulu akan terus diperkasakan menerusi peningkatan kecekapan operasi, pemodenan prasarana dan pengukuhan sistem digital.
Menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira @ Gira Sambang, beliau berkata, tumpuan utama selepas pengambilalihan adalah memastikan operasi pelabuhan terus berjalan lancar tanpa menjejaskan urusan pengguna dan rakan dagang.
Katanya, pemantauan berterusan akan dilaksanakan melalui Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) terhadap aspek kritikal termasuk kecekapan operasi, kapasiti kargo, tahap perkhidmatan dan tempoh pusing ganti kapal.
Bagi memacu transformasi pelabuhan, kerajaan akan mengoptimumkan kemudahan sedia ada, meningkatkan kapasiti, memodenkan proses kerja bagi mengurangkan birokrasi serta meningkatkan kecekapan masa dan kos dalam rantaian logistik.
Kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus berkala dengan pengimport, pengeksport, syarikat perkapalan dan agensi pengangkutan, selain menyelaraskan hala tuju Pelabuhan Bintulu menerusi Pelan Induk Pelabuhan Sarawak.
Sementara itu, usaha mengintegrasikan Pelabuhan Bintulu dengan pelabuhan lain di Sarawak akan dilaksanakan melalui penyelarasan semua pihak berkuasa pelabuhan di bawah satu badan kawal selia, iaitu Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak.
Langkah lain termasuk pengelompokan peranan pelabuhan berdasarkan kedudukan geografi dan kekuatan industri, penambahbaikan struktur tarif, penaiktarafan kemudahan serta infrastruktur dan transformasi pengurusan pelabuhan kepada entiti korporat bagi meningkatkan daya saing serta kelestarian jangka panjang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dan soalan tambahan pada persidangan DUN Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Oleh Shikin Mahmud



