SIBU, 13 Oktober: Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak (SSWFF) dengan peruntukan RM8 bilion menjadi antara langkah strategik kerajaan negeri untuk memelihara kekayaan Sarawak dan menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau berkata, penubuhan dana itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam merancang pembangunan jangka panjang, selain memastikan sumber kewangan negeri terus diperkukuh melalui pelaburan.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pembangunan negeri bukan sahaja tertumpu kepada keperluan semasa, malah turut mengambil kira kepentingan generasi akan datang.
“Kerajaan Sarawak bukan sahaja memikirkan pembangunan hari ini, tetapi turut merancang untuk tempoh 20 tahun akan datang supaya kekayaan negeri dapat dipelihara dan dikembangkan demi kepentingan generasi muda.
“Inilah pentingnya mempunyai visi yang jauh ke hadapan, kerana pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada keperluan jangka pendek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jenau Segai, Pengkalan Gerasi, Sungai Apong, Ulu Lebaan di sini, baru-baru ini.
Lau berkata, perancangan jangka panjang itu perlu disokong pembangunan menyeluruh yang merangkumi penyediaan infrastruktur, pengukuhan ekonomi dan pendidikan bagi memastikan manfaat kemajuan dapat dinikmati rakyat secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, masyarakat di kawasan Bawang Assan dan Sibu juga perlu terus mengekalkan perpaduan serta bekerjasama tanpa mengira kaum dan agama demi kepentingan bersama.
Dalam usaha memastikan pembangunan memenuhi keperluan penduduk, beliau turut menekankan peranan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dalam mengenal pasti masalah setempat serta menyalurkannya kepada pihak berkenaan untuk tindakan susulan.
Mengulas keperluan asas penduduk, Lau berkata, masalah bekalan air di Rumah Jenau telah diselesaikan menerusi inisiatif kerajaan Sarawak membangunkan sistem loji rawatan air di kawasan Sungai Sadit.
Beliau berkata, usaha turut dilaksanakan di Rantau Panjang bagi menangani masalah bekalan air di kawasan itu, dengan sistem rawatan air berkenaan dijangka membantu menyelesaikan isu tersebut apabila siap kelak.
Bagaimanapun, Tuai Rumah Jenau berkata, penduduk masih memerlukan perhatian pihak berkuasa berhubung beberapa masalah lain, termasuk keadaan titian yang semakin uzur dan sistem perparitan yang tidak dapat mengalirkan air dengan baik ketika hujan.
Menjawab perkara itu, Lau berkata, beliau akan membantu mengemukakan permohonan kepada MDLBS bagi mendapatkan peruntukan untuk menaik taraf titian di rumah panjang berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan turun padang dan mendengar suara rakyat penting bagi memastikan setiap permasalahan dikenal pasti serta disalurkan kepada pihak berkaitan, sekali gus membolehkan pembangunan dilaksanakan secara lebih inklusif dan memenuhi keperluan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar.
Oleh Tarani Lanting





