M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi, bantuan SARA MADANI pada 2027

Facebook
WhatsApp
KETUA Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Tan Sri Johan Mahmood Merican.

PUTRAJAYA, 12 Oktober: Golongan berpendapatan sederhana atau M40 antara yang mendapat manfaat daripada Belanjawan 2027 menerusi peningkatan had pelepasan cukai individu kepada RM12,000 daripada RM9,000 serta bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali pada tahun depan kepada rakyat Malaysia dewasa yang layak.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, pendekatan kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada bantuan tunai untuk golongan berpendapatan rendah, malah merangkumi langkah mengurangkan beban kewangan pembayar cukai dan isi rumah berpendapatan sederhana.

“Di bawah Belanjawan 2027, had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, iaitu pelarasan pertama selepas lebih sedekad. Langkah itu memberi ruang kepada pembayar cukai yang layak untuk mengurangkan pendapatan bercukai, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan boleh guna mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat dalam talian selama kira-kira 90 minit mengenai isu semasa berkaitan Belanjawan 2027 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Skop pelepasan cukai turut diperluas meliputi perbelanjaan penjagaan selepas bersalin serta kelas atau tuisyen anak dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), seni, bahasa serta agama, tertakluk kepada had dan syarat yang ditetapkan.

Bagi pelepasan cukai berkaitan sukan, skopnya diperluas untuk merangkumi pembelian kasut sukan sehingga RM300.

Sementara itu, pelepasan cukai gaya hidup turut meliputi langganan perisian kecerdasan buatan (AI), perbelanjaan mengambil haiwan peliharaan dari pusat berdaftar serta perkhidmatan veterinar berdaftar bagi vaksinasi dan pemandulan haiwan.

Johan berkata, golongan yang tidak menerima bantuan tunai bersasar masih boleh menikmati manfaat melalui pelarasan cukai dan langkah lain yang disediakan kerajaan.

Selain itu, seramai 13 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), termasuk golongan M40, akan menerima bantuan SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali pada 2027, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang Hari Kebangsaan.

“Bantuan itu bertujuan membantu rakyat menampung sebahagian perbelanjaan keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut meneruskan bantuan SARA secara bulanan kepada penerima STR mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Mengulas mengenai sektor perumahan, Johan berkata, pembeli rumah pertama layak mendapat pengecualian duti setem 100 peratus bagi hartanah berharga sehingga RM500,000.

“Bagi hartanah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000, pembeli rumah pertama layak mendapat pengecualian sebanyak 50 peratus daripada duti setem yang dikenakan ke atas baki nilai hartanah selepas RM500,000, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai langkah itu mencerminkan pendekatan kerajaan untuk menangani tekanan kos sara hidup menerusi gabungan bantuan langsung, pelepasan cukai dan sokongan kepada pemilikan rumah.

Pada Jumaat lalu (9 Oktober), Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion.

Jumlah itu ditambah dengan pelaburan sebanyak RM25 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion melalui pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion, yang meneruskan dasar fiskal mengembang.

Belanjawan MADANI Kelima itu bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat menerusi gaji lebih baik, bantuan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal lebih kukuh serta langkah agresif ke arah pembangunan industri bernilai lebih tinggi. – Bernama