Hasil pelancongan perubatan Sarawak meningkat 21 peratus

Facebook
WhatsApp
DATUK Sebastian Ting Chiew Yew menyempurnakan majlis perasmian Kongres dan Ekspo Pelancongan Perubatan Global Borneo 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 12 Oktober: Hasil pelancongan perubatan Sarawak meningkat 21 peratus kepada RM109.9 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding RM90.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu, mencerminkan pertumbuhan pendapatan sektor berkenaan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan hasil yang lebih pantas berbanding pertumbuhan jumlah pelawat menunjukkan potensi untuk meningkatkan nilai perkhidmatan pelancongan perubatan di negeri ini.

“Jumlah pelawat yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini turut meningkat kepada 48,480 orang dalam tempoh tersebut berbanding 46,793 orang pada separuh pertama 2025,” katanya. 

PENYAMPAIAN cenderamata penghargaan kepada salah seorang penaja Kongres dan Ekspo Pelancongan Perubatan Global Borneo 2026. Foto Adele Rissa.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada Majlis Pelancaran Kongres dan Ekspo Pelancongan Perubatan Global Borneo 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha memperkukuh mutu perkhidmatan kesihatan, meningkatkan pengalaman pesakit dan menarik lebih ramai pesakit antarabangsa perlu diberi perhatian bagi mengembangkan sektor berkenaan.

“Ini mendorong kita untuk meneliti bagaimana Sarawak boleh memperkukuh lagi nilai perkhidmatan kesihatannya, meningkatkan pengalaman pesakit serta menarik lebih ramai pesakit antarabangsa yang mencari rawatan perubatan berkualiti,” ujarnya.

Jelas Abdul Karim, manfaat pelancongan perubatan turut melangkaui sektor kesihatan apabila perbelanjaan pesakit dan ahli keluarga yang menemani mereka menyumbang kepada kegiatan ekonomi dalam bidang perhotelan, pengangkutan, makanan dan pelancongan.

Sehubungan itu, katanya, pembangunan ekosistem yang menyeluruh penting untuk memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan perubatan, termasuk melalui penambahbaikan infrastruktur kesihatan, kemudahan hospitaliti dan kesalinghubungan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Micheal Tiang Ming Tee serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee.

Oleh Adele Rissa