Cukai taksiran penting selenggara kemudahan awam

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Abdul Rahman Ismail pada Perasmian Pesta Hari Bukit Mas Edisi Ke-19 2026 semalam.

LIMBANG, 12 Oktober: Penduduk daerah Limbang diseru supaya terus menunaikan tanggungjawab membayar cukai taksiran kepada Majlis Daerah Limbang (MDL) bagi menyokong penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan awam demi kesejahteraan masyarakat.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kegagalan mengutip cukai taksiran pada kadar yang ditetapkan boleh menjejaskan kelancaran kerja penyelenggaraan dan penyampaian perkhidmatan.

Sehubungan itu, MDL perlu memastikan kutipan cukai taksiran diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkualiti, termasuk kebersihan persekitaran, penyelenggaraan jalan, sistem perparitan, pengurusan sampah serta penjagaan kemudahan awam.

“Antara perkhidmatan yang disediakan MDL termasuk membersihkan longkang dan jalan. Perkhidmatan ini bukan percuma, sebab itu cukai taksiran dikenakan kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi kutipan cukai taksiran ditetapkan pada kadar 90 peratus, namun pencapaian semasa hanya 80 peratus.

“Ini bermakna masih terdapat penduduk Limbang yang culas membayar cukai taksiran. Pesta Hari Bukit Mas ini juga diadakan untuk mempromosikan perkhidmatan yang disediakan MDL,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Hari Bukit Mas Edisi Ke-19 2026, semalam.

Beliau hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut hadir ialah Pengerusi MDL, Kaunselor Sufian Mohat; Setiausaha MDL, Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta; serta ahli-ahli MDL.

Menurut Abdul Rahman, kerjasama erat antara penduduk dengan MDL amat penting bagi memastikan persekitaran bandar dan kawasan perumahan sentiasa bersih, selesa serta selamat untuk didiami.

Katanya, pembayaran cukai taksiran dalam tempoh yang ditetapkan dapat membantu MDL merancang kewangan dan melaksanakan kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan infrastruktur dengan lebih teratur.

Pada masa sama, MDL perlu terus meningkatkan kecekapan pengurusan, memperkukuh pemantauan dan mengambil tindakan segera terhadap aduan penduduk bagi memastikan isu berkaitan kemudahan awam dapat ditangani dengan berkesan.

Beliau turut memuji usaha berterusan MDL dalam mengekalkan kebersihan dan keindahan bandar Limbang meskipun berdepan kekangan dari segi kutipan cukai taksiran.

Katanya, Limbang juga berpotensi terus menarik kedatangan pengunjung dari luar melalui penganjuran pelbagai program menarik di bawah Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang.

Oleh Adeng Edrus