Penjualan tiket AirBorneo oleh pihak ketiga dalam pemantauan MOT

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Oktober: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang membincangkan langkah untuk menangani kegiatan penjualan semula tiket penerbangan AirBorneo oleh pihak ketiga tanpa kebenaran, yang berpotensi menyebabkan pengguna dikenakan tambang lebih tinggi dan caj tersembunyi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata kegiatan itu dalam pengetahuan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan sedang dibincangkan di peringkat kementerian bagi melindungi kepentingan pengguna.

“Kita tak mahu ada pihak ketiga. Kita pernah mengalami perkara ini sebelum ini apabila sebuah syarikat penerbangan lain turut berdepan kegiatan penjualan tiket oleh pihak ketiga yang kadangkala merugikan pengguna.

“Jadi, insya-Allah, perkara itu sedang dibincangkan dan tindakan akan diambil jika perlu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai tindakan penguatkuasaan kementerian berhubung kegiatan berkenaan.

Menjawab soalan asal Datuk Larry Sng (PBM-Julau), Hasbi berkata kenaikan harga minyak dunia mempengaruhi kekerapan penerbangan, namun kemasukan AirBorneo membantu menambah penerbangan pengantara dan mendorong penurunan tambang syarikat penerbangan lain.

Beliau berkata bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan udara ke kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Labuan, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan subsidi tahunan sebanyak RM209 juta kepada AirBorneo untuk mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

PESAWAT AirBorneo yang menjadi tumpuan susulan perbincangan Kementerian Pengangkutan mengenai penjualan semula tiket penerbangannya oleh pihak ketiga tanpa kebenaran. Foto Bernama

Hasbi berkata sebagai pengendali RAS di bawah Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO), AirBorneo tidak boleh mengenakan tambang melebihi harga siling yang ditetapkan. Tambang bagi 39 laluan RAS tertakluk kepada harga siling antara RM30 hingga RM243 bagi tambang asas, bergantung pada laluan.

“Kerajaan, melalui CAAM yang bertindak sebagai penasihat, pentadbir dan pengurus RAS, akan melaksanakan pengawasan berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan operasi RAS. Penilaian semula terhadap struktur harga siling akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi menjamin kebolehcapaian perkhidmatan udara di kawasan luar bandar pada kadar tambang yang munasabah dan mampu milik,” katanya.

Katanya, perjanjian interim RAS yang dimeterai pada 18 Dis tahun lepas akan berakhir pada 31 Dis ini, manakala perjanjian baharu dijangka ditandatangani pada penghujung tahun ini.

Hasbi berkata AirBorneo mengendalikan 14 penerbangan seminggu bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur sejak 20 Julai lepas dengan menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang berkapasiti 162 tempat duduk. Tambang sehala bagi kelas ekonomi ialah RM375, manakala tambang kelas perniagaan bermula pada RM800.

Beliau berkata syarikat itu merancang untuk menambah kekerapan penerbangan dan memperkenalkan laluan baharu secara berperingkat berdasarkan permintaan pasaran serta ketersediaan pesawat, manakala operasi komersialnya dibiayai sepenuhnya melalui sumber dalaman. – Bernama