PETRA JAYA, 12 Oktober: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dijadual membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2026) 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang bermula hari ini.
Pembentangan itu merupakan antara agenda penting persidangan DUN Sarawak yang berlangsung selama lapan hari, dengan tumpuan turut diberikan kepada perancangan kewangan negeri serta hala tuju pembangunan Sarawak bagi tahun mendatang.
Persidangan kali ini turut menyaksikan pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi menetapkan keutamaan perbelanjaan dan pembangunan negeri untuk tahun hadapan.
Selain RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026, dua lagi rang undang-undang pindaan turut dijadual dibentangkan, iaitu RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dan RUU Hari Kelepasan Umum (Pindaan) 2026.
Persidangan yang bermula jam 9 pagi itu didahului dengan bacaan doa dan sesi bertafakur bagi memperingati bekas Speaker DUN Sarawak, Datuk Song Swee Guan, serta lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas di Long Lellang pada 8 September lalu.
Sepanjang persidangan, sebanyak 336 soalan lisan dan bertulis daripada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikemukakan untuk dijawab.
Daripada jumlah itu, 264 soalan lisan dikemukakan oleh 37 ADUN, manakala 72 soalan bertulis melibatkan 13 ADUN.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mencatatkan jumlah pertanyaan tertinggi dengan 36 soalan.
Persidangan berkenaan menjadi platform kepada wakil rakyat untuk meneliti perancangan kewangan negeri, membahaskan cadangan pindaan undang-undang serta membangkitkan pelbagai isu berkaitan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Oleh Adi Safarman





