PETRA JAYA, 12 Oktober: Sarawak memperuntukkan RM6.4 bilion bagi inisiatif pembangunan luar bandar menerusi Belanjawan 2027, dengan tumpuan bukan sahaja kepada pembinaan infrastruktur, malah mewujudkan kegiatan ekonomi yang mampu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan infrastruktur perlu disusuli pembentukan ekosistem ekonomi yang membolehkan pengusaha luar bandar memproses hasil, menambah nilai produk dan menembusi pasaran lebih luas.
“Kesalinghubungan hanyalah permulaan. Setelah komuniti luar bandar kita dihubungkan, kita mesti membina ekosistem ekonomi di sekeliling mereka, termasuk hab pengeluaran, pusat pemprosesan, kemudahan penyimpanan dan logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan itu akan membolehkan pengeluar luar bandar menambah nilai kepada hasil keluaran mereka, mewujudkan peluang pekerjaan serta mengakses pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata, pendekatan pembangunan Sarawak adalah jelas, iaitu menghubungkan, mengaktifkan dan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya manfaat pembangunan dapat diterjemahkan kepada kekayaan serta peningkatan pendapatan rakyat.

“Pembangunan infrastruktur mesti melangkaui jalan raya dan jambatan untuk mewujudkan kekayaan, meningkatkan pendapatan dan membuka peluang, sekali gus mentransformasikan kawasan luar bandar kita menjadi rangkaian pengeluaran setempat yang dinamik,” katanya.
Bagi menyokong usaha itu, sebanyak RM10.098 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan pada 2027, bersamaan 64 peratus daripada keseluruhan belanjawan negeri berjumlah RM15.85 bilion.
Daripada jumlah tersebut, RM6.4 bilion atau 64 peratus disalurkan kepada inisiatif pembangunan luar bandar, mencerminkan keutamaan kerajaan negeri untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar.
Antara peruntukan utama ialah RM350 juta bagi Projek Transformasi Luar Bandar, RM200 juta untuk agensi pembangunan wilayah, RM253 juta bagi Program Projek Khas dan RM200 juta untuk pelaksanaan Projek Rakyat.
Selain itu, RM2.27 bilion disediakan di bawah pembiayaan alternatif bagi meneruskan projek rangkaian pengangkutan utama negeri, meliputi Jalan Pesisir Sarawak, Jalan Utama Kedua Sarawak, Lebuhraya Pesisir Utara serta Jalan Sultan Tengah dan Jambatan Baharu Santubong.
Sebanyak RM742 juta lagi diperuntukkan bagi pembinaan jalan raya dan jambatan di seluruh Sarawak, termasuk projek yang menghubungkan kawasan pedalaman serta menyokong pergerakan penduduk dan kegiatan ekonomi.
Oleh Shahrul Qaizat





