PETRA JAYA, 12 Oktober: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10.098 bilion bagi perbelanjaan pembangunan pada 2027, meningkat RM826 juta atau sembilan peratus berbanding anggaran asal perbelanjaan pembangunan tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, peruntukan itu antara yang tertinggi pernah disediakan negeri bagi memenuhi keperluan rakyat serta meneruskan agenda pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Bajet Sarawak 2027 pada persidangan hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan bertujuan memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat diteruskan bagi membina Sarawak yang lebih maju, makmur dan menyediakan peluang lebih baik kepada rakyat.
Antara tumpuan bajet ialah pembangunan pertanian komersial, infrastruktur luar bandar, pendidikan, industri strategik, tenaga hijau serta pelancongan dan ekonomi kreatif.
Bagi sektor pertanian, kerajaan negeri memperuntukkan RM20.47 juta pada 2027 untuk meningkatkan pengeluaran padi sebagai sebahagian daripada usaha mencapai tahap sara diri beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030.

Secara keseluruhan, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1 bilion bagi transformasi industri padi, dengan kawasan seluas 14,000 hektar dikenal pasti untuk penanaman padi yang dilengkapi sistem pengairan dan saliran moden.
Fasa pertama pembangunan dijadual bermula pada 2027, melibatkan tujuh kawasan dengan keluasan keseluruhan kira-kira 2,000 hektar.
Dalam sektor pendidikan pula, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak menerima peruntukan RM200 juta bagi 2027, yang dijangka memanfaatkan sehingga 10,600 pelajar di empat universiti milik Sarawak.
Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM30.5 juta bagi Program Komputer Riba Percuma serta RM10 juta untuk subsidi pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Bagi pembangunan industri strategik, kerajaan meneruskan pelaburan dalam tenaga hijau, semikonduktor, teknologi aeroangkasa dan pembangunan sektor bernilai tinggi bagi memperluas asas ekonomi negeri.
Sementara itu, sebanyak RM103.7 juta diperuntukkan sebagai perbelanjaan pembangunan sektor pelancongan, seni, budaya dan ekonomi kreatif, selain RM186 juta dalam bentuk perbelanjaan operasi dan geran acara berkaitan pelancongan.
Peruntukan pembangunan itu merupakan sebahagian daripada kerangka kewangan negeri yang turut mengunjurkan hasil RM15.091 bilion dan lebihan bajet RM246 juta pada 2027.
Oleh Afiq Sallehi



