KUCHING, 11 Oktober: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga masih gagal menemukan lelaki berusia 53 tahun yang dilaporkan hilang ketika keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Kampung Emperoh Jambu, Jalan Padawan, di sini.
Mangsa, Christie Fidelis Batest, dilaporkan keluar dari rumahnya pada 7.30 malam, 7 Oktober lalu, untuk berburu seorang diri dengan membawa senapang patah ke kawasan hutan di belakang rumah sepupunya, kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.
Motosikal jenis Modenas berwarna biru milik mangsa ditemukan di kawasan berkenaan, namun keberadaannya masih belum diketahui.
Komander Operasi, PBK I Ahmad Shah Sa’ad, mengetuai operasi SAR hari ketiga yang melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bersama polis, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 dan penduduk kampung.
Pencarian dimulakan pada 9.30 pagi dengan membahagikan pasukan kepada tiga kumpulan yang menggunakan kaedah fan searching di lokasi terakhir motosikal mangsa ditemukan.

Pada 1.25 tengah hari, tujuh individu termasuk ahli keluarga mangsa, anggota PBS dan dua pengamal perubatan tradisional pergi ke lokasi yang dipercayai mempunyai petunjuk untuk menjalankan ritual.
Operasi pencarian disambung semula pada 2.20 petang dengan tiga kumpulan menyisir kawasan di sebelah kiri jalan menggunakan kaedah ‘fan searching’.
Pasukan SAR kembali ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) pada 4.44 petang, namun mangsa masih belum ditemukan.
Operasi hari ketiga ditangguhkan pada 5.00 petang selepas taklimat oleh Timbalan Ketua Polis Balai (OCS) bersama komander operasi bomba. Pencarian dijadualkan bersambung pada keesokan hari.
Mangsa mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan jantung. Maklumat mengenai pakaian terakhir yang dipakainya masih belum diperoleh.
Operasi SAR melibatkan tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera CFRT dan sebuah kenderaan EMRS, selain bantuan agensi berkaitan serta penduduk kampung.
Oleh Shikin Mahmud





