PETRA JAYA, 11 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir bersama isterinya, Datin Meryani Yassin, menziarahi jenazah Allahyarham Tahir Sharee, Pegawai Daerah Kabong, di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, Petra Jaya, pagi tadi.
Kunjungan itu merupakan tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham, selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.
Chee Kadir menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang banyak menabur bakti dalam perkhidmatan awam, khususnya ketika menjalankan tugas sebagai Pegawai Daerah Kabong.
Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan sekerja dan masyarakat yang pernah mengenali serta berurusan dengannya.
Jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang berkhidmat diharap terus dikenang sebagai penghargaan terhadap pengabdiannya kepada masyarakat dan perkhidmatan awam.
Dalam kesempatan itu, Chee Kadir turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan tersebut.
“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa-dosanya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin ya Rabbal Alamin,” katanya.
Oleh Adi Safarman



