PETRA JAYA, 11 Oktober: Persatuan Anak Kabong (PAK) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Pegawai Daerah Kabong, Allahyarham Mohd Tahir Sharee yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.00 pagi di Hospital Umum Sarawak, Kuching.
Sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap keluarga Allahyarham, Pengerusi PAK, Semawi Mohamad, telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham dalam satu kunjungan di Kompleks Raudhatul Sakinah, Semariang.
Sumbangan itu merupakan tanda simpati dan sokongan PAK kepada keluarga yang sedang menghadapi kehilangan insan tersayang.
PAK turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian berkenaan.
Dalam kenyataan yang dizahirkan, PAK mengajak orang ramai bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya serta mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Jenazah Allahyarham dijadualkan diuruskan sebelum dibawa ke Masjid Taman Sukma, Kuching, untuk urusan seterusnya.
Allahyarham kemudian dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada hari ini.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan buat keluarga dan mereka yang mengenali beliau sepanjang hayatnya.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh serta mendapat keampunan daripada Allah SWT.
Oleh Adi Safarman




