KUALA LUMPUR, 11 Oktober: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur akan menikmati diskaun 10 peratus mulai 2027.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata insentif itu sebagai pengiktirafan terhadap disiplin peminjam dalam memenuhi tanggungjawab pembayaran balik pinjaman.
“Inisiatif yang akan dilaksanakan pada 2027 ini bertujuan menggalakkan pembayaran balik secara berterusan dan mengurangkan risiko tunggakan pinjaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kerajaan menyediakan inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN pada 2027 yang akan memanfaatkan lebih 400,000 peminjam dan bayaran balik minimum RM50 sebulan bagi peminjam berpendapatan rendah.
Norliza berkata pelaksanaan itu tertakluk pada pengesahan maklumat pendapatan melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Hal ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan komitmen bayaran balik dapat disesuaikan dengan kemampuan kewangan peminjam,” katanya.
Beliau berkata inisiatif lain melibatkan pemberian potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja masing-masing bermula Januari 2027 hingga Disember 2028.
Norliza berkata inisiatif berkenaan menggalakkan penglibatan majikan dalam membantu mengurangkan beban hutang pekerja, sekali gus memperkukuh kebajikan mereka.
“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN akan terus komited melaksanakan hasrat dan aspirasi kerajaan melalui Belanjawan 2027 untuk memperluas akses pendidikan yang lebih inklusif, meningkatkan kesejahteraan peminjam dan memastikan kelestarian dana pembiayaan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata komitmen itu bagi memastikan lebih ramai generasi muda berpeluang membina masa depan melalui pendidikan tinggi.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan menerusi Belanjawan 2027.
Selain itu, beliau berkata peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50. – Bernama




